Dengan Sekali Lafaz, Cat Farish & Shikin Maembong Sah Bergelar Suami Isteri

Dengan sekali lafaz, penyanyi dan pelakon Cat Farish selamat diijabkabulkan bersama wanita pilihan hatinya iaitu Shikin Maembong pada malam Khamis, kira-kira jam 9.07 malam.

Memetik laporan mStar, Cat atau Farish Ramli dan Shikin dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Ibnu Abbas Taman Ibu Kota Kuala Lumpur, Mohd Shukri Shafie yang berwalikan bapa pengantin perempuan, Ismail Maembong.

Majlis pernikahan pasangan ini berlangsung secara tertutup di sebuah dewan di Setapak, Kuala Lumpur.

Shikin menerima mas kahwin sebanyak RM200 daripada pengantin lelaki namun jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Pihak pengantin perempuan menyerahkan sebanyak lima dulang hantaran dan dibalas tiga dulang daripada pihak pengantin lelaki.

Sejurus sah bergelar isteri, Shikin kelihatan sebak dan mengalirkan air mata di atas pelamin yang ditemani oleh anak perempuannya dan tiga orang anak Cat.

Majlis tersebut dihadiri oleh keluarga dan rakan rapat kedua-dua belah pihak termasuk beberapa rakan artis seperti ahli kumpulan Ruffedge dan Riz Amin.

Sekadar makluman, Cat sebelum ini pernah berkahwin dengan Hartiny Ramli namun bercerai pada 2016.

Hasil perkongsian hidup, mereka memiliki tiga orang anak iaitu Nia Karlyssa, 15, Eva Latheefa, 13 dan Qul Iskandar, 12.

Selepas itu, Cat juga telah berkahwin dengan Suriani Hassan pada November 2020 dan mengumumkan telah bercerai pada Februari lalu namun perkahwinan ini mereka tidak dikurniakan anak.

Manakala, Shikin pula pernah mendirikan rumah tangga bersama Cef Riz yang juga anak kepada Chef Wan pada 5 Disember 2014 dan bercerai pada Jun 2016.

Hasil perkahwinan itu, Shikin dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Putri Arianna Natasya, 8.

Shikin juga pernah bergelar isteri kedua pada Mac 2020 dan bercerai pada 2022.

Sumber: mStar

Atiqah Johari