Categories: HiburanSelebriti

Setiap Malam Menangis, Janna Nick Kongsi Pengalaman Bawa Watak Askar

Pelakon Janna Nick mengakui menangis selama 15 hari di set penggambaran drama Leftenan Zana yang kini ditayangkan di TV3.

Wanita berusia 24 tahun ini menganggap wataknya sebagai Leftenan Zana menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan. 

“ Membawa watak anak manja yang mahu bergelar anggota tentera, saya banyak menangis mengenangkan betapa sukar sebenarnya bergelar seorang anggota tentera.

“ Sekarang saya faham kenapa mereka sensitif sekiranya pakaian seragam mereka dibuat main. Saya bangga dapat membawa watak Zana yang mana dapat menyarungkan pakaian seragam tentera walaupun sebentar cuma,” katanya kepada XTRA.

Akui Janna, dia banyak menangis di dalam kereta sebelum memulakan penggambaran kerana terlalu tertekan.

“ Bayangkan saya dimarahi oleh jurulatih. Dalam masa sama saya disuruh melakukan latihan stamina dan juga didenda dengan disuruh push up. Memang perit.

“ Setiap malam sebelum tidur juga saya akan menangis memikirkan hari esok di set penggambaran. Saya amat berterima kasih kepada pengarah Azman Yahya yang meletakkan kepercayaan penuh kepada saya,” katanya.

Menurut Janna, banyak pengalaman yang sempat dipelajari sepanjang berada di Kem Tentera di Port Dickson.

“ Kini saya faham kesusahan dan pengorbanan anggota tentera demi memastikan negara dalam keadaan aman. Saya dapat rasa sikap patriotik lebih menebal selepas membintangi Leftenan Zana.

“ Paling penting, saya bangga melihat lakonan saya yang mencabar kemampuan fizikal dan mental demi menjayakan drama ini,” akhirinya.

Drama Leftenan Zana terbitan JS Pictures Sdn Bhd ditayangkan setiap Rabu-Jumaat jam 9 malam bermula 8 Februari lalu. 

SGMS Faida