#SFMM38: “Penggantian Penyanyi Lagu Astana Di Luar Pengetahuan Saya” – Ernie Zakri

Penyanyi bersuara lunak, Ernie Zakri akhirnya membuat kenyataan rasmi berhubung isu lagu Astana yang berjaya mara ke pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM38) menerusi sebuah video dimuat naik di platform Instagram miliknya sebentar tadi.

Menerusi video tersebut, Ernie menjelaskan pihaknya tidak diberi maklum berkenaan penggantian penyanyi untuk lagu Astana, serta tidak menerima sebarang surat rasmi daripada mana-mana pihak.

Tambahnya, Ernie juga menegaskan sebagai salah satu komposer dan penulis lirik bersama dengan Omar K, Syamel dan Shazriq Azeman berhak untuk menarik diri daripada bertanding dalam SFMM 38.

“Sekarang saya berada di bawah naungan Universal Music Malaysia (UMM), seperti mana kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak UMM, pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) sedang berunding bersama Media Prima atas beberapa isu yang harus mereka selesaikan.

“Saya harus akur dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan, sementara menunggu lampu hijau daripada pihak UMM dan pihak RIM, saya mendapat perkhabaran bahawa lagu ini sudah dicalonkan ke SFMM38.

“Lagu ini juga telah mendapat penyanyi gantian yang akan menggantikan saya sebagai penyanyi asal untuk lagu Astana. Ini adalah diluar pengetahuan saya sebagai penyanyi asal dan komposer, saya juga tidak menerima sebarang e-mel atau surat rasmi kepada pihak saya.

“Jika perkara ini berterusan, saya dan tiga lagi komposer berhak menarik diri daripada SFMM38,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Ernie mengucapkan ribuan terima kasih tulus dari hatinya kepada semua peminat yang tidak henti menyokong kerjaya seninya sehingga lagu Astana layak mara ke SFMM38.

“Sebagai seorang penyanyi dan penulis lagu Astana saya ingin mengucapkan banyak terima kasih kepada pihak Media Prima dan Anugerah Juara Lagu (AJL) layak ke SMFMM38 hasil undian peminat.

“Terima kasih kepada peminat, terima kasih kerana mempercayai saya. Teruskan sokong industri muzik kita serta terus hormati satu sama lain. Jaga diri,” tambahnya lagi.

SFMM38 menyaksikan 30 karya lagu bakal merebut 12 tempat ke AJL 38 yang bakal diadakan pada 3 Mac 2024 di Axiata Arena, Kuala Lumpur.

SFMM38 dibawakan khas oleh penaja utama, Alha Alfa dan rakan penaja, U Mobile. Turut memeriahkan musim ini adalah OhBulan!, XTRA dan Seismik sebagai rakan digital, serta Hot FM sebagai rakan radio.

SFMM38 yang dihoskan Izzue Islam dan Fizza Frizzy akan bersiaran secara langsung pada 15, 16 dan 17 Disember ini jam 3.00 petang hingga 5.00 petang di TV3 dan strim HD secara langsung di www.tonton.com.my.

Artikel Berkaitan: #SFMM38: Kecewa Ernie Zakri Tak Nyanyi Lagu ‘Astana’, Peminat Desak Bekas Syarikat Rakaman Beri Kenyataan Jelas – “Penat Undi Tapi Orang Lain Yang Nyanyi”

Artikel Berkaitan: #SFMM38: “Tak Pernah Cakap Saya Tak Nak Nyanyi Atau Tarik Diri, Namun…” – Isu Lagu Astana, Ernie Zakri Buka Mulut

Artikel Berkaitan: #SFMM38: Syarikat Rakaman Beri Penjelasan Mengapa Nadeera Dipilih Ganti Ernie Zakri Nyanyi Lagu Astana

Aqilah Paharuzi