Shahfi Rafiq Juara Spotlight Musim Pertama, Tahniah!

Setelah 7 minggu bersiaran di saluran Youtube Ogy.TV, program realiti Spotlight akhirnya menobatkan peserta termuda, Shahfi Rafiq sebagai juara musim pertama, semalam.

Remaja berusia 11 tahun itu yang mempersembahkan sketsa monolog ‘Anak Derhaka’ untuk tugasan pertama dan ‘stand-up comedy’ membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, trofi, telefon pintar, baucer membeli belah dan pakej percutian.

“Walaupun saya kanak-kanak, peserta dewasa lain tidak pernah memandang rendah dan banyak membantu.

“Saya harap kemenangan ini membuatkan keluarga saya bangga dan buka peluang untuk jadi pelakon,” kata anak ketiga dari empat adik beradik ini.

Tempat kedua milik peserta ‘wild card’, Tia Fatiha yang membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, dan hadiah iringan sama.

Ketiga pula milik peserta asal Palembang, Indonesia iaitu Andi Lisso dengan membawa pulang wang tunai RM3,000, dan hadiah iringan sama.

Pada malam final, mereka perlu melakukan dua bentuk persembahan, pertama pilihan sendiri dan kedua tugasan pilihan juri.

Juri tetap ialah Dr Norzizi Zulkifly, Azmi Ali dan Ogy Ahmad Daud, manakala dan juri jemputan penyanyi, Fauziah Latif.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Faida