“Sikit Lagi Saya Kena Sabar,” – Ziana Zain

” Kalau 20 tahun saya boleh sabar, jadi sikit lagi saya kena sabar,” kata penyanyi Ziana Zain yang kini berdepan dengan kemelut rumah tangga dengan suaminya, Armin Zahrin Ahmad Zambri.

Penyanyi popular dengan lagu Madah Berhelah itu hadir ke Mahkamah bagi sebutan kes cerai terhadap suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, sebentar tadi.

” Saya yakin semua akan ada pengakhiran yang baik. Dalam masa sama, saya berharap pihak sana bertanggungjawab menyempurnakan prosiding ini demi meneruskan kehidupan.

” Kalau kita ada tanggungjawab untuk satu sama lain, kita sepatutnya hadirlah (pada sidang mahkamah hari ini),” katanya.

Mendirikan rumah tangga pada Mei 1998, Armin dan Ziana dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Pada 3 April lalu, Ziana yang popular dengan lagu Berpisah Jua menfailkan tuntutan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah selepas Armin enggan melafazkan cerai terhadap penyanyi tersebut.

Difahamkan fail tuntutan penceraian itu berkaitan  penderaan mental dialaminya, nafkah dan kes dera anak-anak mereka.

 

SGMS Faida