Sindir Penyanyi Muda ‘Bodoh’, Nabila Huda Beri Penjelasan

“Ramai yang salah faham, saya bukannya memanggil Ara Johari bodoh, sebaliknya pihak yang tampil dengan idea untuk membuat cabaran menggabungkan durian dengan mi segera pedas,”.

Begitulah penjelasan pelakon, Nabila Huda apabila ramai yang salah erti dengan komen yang ditinggalkan olehnya di akaun penyanyi wanita itu.

Nabila atau mesra dengan sapaan Abil menegaskan, pihak penganjur harus mengambil kira faktor kesihatan kerana gabungan dua makanan panas itu boleh memberikan impak kepada usus perut.

“Saya terpanggil meninggalkan komen di Instagram Ara kerana berang dengan sikap segelintir pihak yang ingin menjadi ‘hipster’ tanpa menitik beratkan aspek kesihatan. Usus perut boleh rosak kerana menggabungkan durian dan mi segera yang terlampau pedas.

“Malah, sekiranya makan durian pun tidak boleh dicampurkan dengan minuman bergas kerana boleh memudaratkan kesihatan. Takkan hendak tunggu terjadi perkara tidak baik, baru hendak berhati-hati kan?

“Apatah lagi, ramai anak muda yang mudah terikut dengan trend terkini. Jadi, saya mengecam tindakan pihak yang tampil dengan idea ‘hipster’ itu supaya tidak ada yang menirunya nanti. Berpada-padalah jika mahu membuat cabaran, jangan sampai memberi kesan kepada kesihatan,” tegas Abil.

Video Ara menyahut cabaran makan mi segera pedas bersama buah durian bukan sahaja menerima reaksi netizen, malah turut mengundang komen daripada rakan selebriti.

Abil meluahkan amarah kerana menganggap cabaran itu sebagai kurang cerdik memandangkan dua makanan itu boleh meningkat suhu badan secara drastik.

Malah, Ara menerima kritikan Abil itu dan berharap orang ramai tidak mengikut teladannya menyahut cabaran berkenaan.

Oleh: Zaara Talita

SGMS Enal