‘Syawal Kali Ini’ Definisi Hidup Fattah Amin

Pelakon dan penyanyi Fattah Amin yang kini muncul dengan single Raya bertajuk Syawal Kali Ini menceritakan lagu ini membawa definisi sebenar dalam hidupnya.

Lagu ciptaan komposer Aizat Amdan dan Mel Ramlan ini mengangkat tema kekeluargaan yang mana Fattah turut menjemput ahli keluarganya untuk tampil dalam klip video Syawal Kali Ini.

Kalau nak tahu, ini merupakan kali pertama saya mengarah klip video. Pada mulanya agak sukar ajak mereka berlakon dalam klip ini tetapi saya percaya sebagai ahli keluarga, mereka sentiasa menyokong karier saya.

“ Kalau kita lihat selalunya klip video Raya mesti tampilkan keluarga, jadi tak salah rasanya untuk saya mengambil mereka memeriahkan ‘Syawal Kali Ini’,” katanya di Majlis Pelancaran Single Raya Fattah Amin, Syawal Kali Ini di SACC Mall, Shah Alam.

Dalam masa sama, Fattah turut memberitahu single terbarunya ini turut membawa definisi sebenar dalam hidupnya memandangkan ini merupakan sambutan Syawal kali pertama bergelar suami.

“ Syawal Kali Ini sudah tentu berbeza berbanding dulu. Saya percaya, Syawal Kali Ini pasti ada yang berbeza buat orang lain juga, mungkin ada yang dikurniakan anak baru, isteri…setiap orang ada definisi berbeza.

“ Apapun, kita doa dan harap yang baik-baik datang dalam kehidupan kita,” katanya.

Bertanya tentang giliran pulang ke kampung halaman, Fattah memberitahu kemungkinan besar dia dan isteri, Fazura bakal pulang ke Pekan, Pahang sebelum Aidilfitri.

“ Hari Raya Pertama kami akan berada di Kuala Lumpur. Tetapi sebelum itu, kami mungkin akan pulang ke kampung isteri di Pekan, Pahang. Insha Allah.

“ Syukur tahun ini saya tidak sesibuk tahun terdahulu. Pendek kata, kehidupan dari segi keluarga, lakonan dan perniagaan lebih seimbang. Alhamdulillah,” akhirinya.

SGMS Faida