Sissy Imann Menyesal Jual Album Harga RM20 – “Kalau Nak Untung, Baik Saya…”

Penyanyi dan peserta Famili Duo, Sissy Imann mengakui menyesal menjual album sulung dengan harga RM20 kerana terlalu mengikutkan emosi.

Memetik laporan Kosmo, kos pembikinan album yang dirakamkan di Abbey Road Studios itu hampir mencecah puluhan ribu ringgit.

“Sebenarnya pagi selepas hari kejadian saya keluar bilik untuk minum dan ternampak album ini di depan televisyen. Terus saya ambil dan campak ke lantai tetapi saya kutip semula sebelum masuk bilik.

“Waktu itu terus saya nekad umumkan jual RM20 menerusi hebahan dalam Instagram tanpa berbincang dahulu dengan ayahanda (bapa) serta bonda (ibu). Sedangkan dengan restu mereka saya dapat ke London merealisasikan album ini.

“Memang saya ikut emosi, namun kehadiran kawan yang memberi kata semangat dan mengingatkan semula perjalanan saya ke arah impian ini seakan ‘wake-up call’ untuk saya berdiri kembali.

“Menyesal (ikut emosi). Kalau dihitung balik jumlah caj pos terutama ke Singapura juga berkali ganda daripada harga album. Apa pun ini semua pengajaran,” katanya.

Selain itu, penyanyi berusia 28 tahun ini menafikan bahawa tangisan pada minggu keenam pertandingan yang bergandingan bersama sepupunya, Naim Daniel merupakan gimik pra-pelancaran albumnya.

Tambahnya lagi, jika perkara tersebut adalah gimik untuk meraih simpati orang ramai sudah tentu bukan RM20 yang diletakkan untuk penjualan 1000 unit album itu.

“Kalau nak untung, baik saya letak harga RM150 sekeping atau lebih tetapi dengan harga RM20 memang tak lepas pun caj pengeposan macam yang saya cakap tadi.

“Malah pada awalnya kami cuma buat 500 unit album fizikal tetapi disebabkan ketika itu tempahan sudah cecah 800 keping, kami sepakat tambah lagi 500 salinan namun tetap dijual pada kadar RM20,” jelasnya.

Sissy dah Naim Daniel bakal beraksi di pentas akhir Famili Duo yang berlangsung Ahad ini.

Program Famili Duo dihoskan oleh Janna Nick dan Sean Lee, tujuh pasangan selebriti popular yang mempunyai hubungan kekeluargaan merebut hadiah bernilai RM10,000 setiap minggu dan hadiah utama bernilai RM100,000 di pusingan akhir.

Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, jangan lupa saksikan Famili Duo setiap Ahad, pukul 9.00 malam hingga 11.00 malam di TV3.

Famili Duo juga dapat ditonton di laman portal video rasmi tonton secara definisi tinggi di www.tonton.com.my.

Gunakan tanda pagar #FamiliDuoTV3 untuk menghangatkan lagi perbualan di laman sosial.

Maya Basir