Sweet Qismina & Adam Lee Saling Menjaga Batas Dalam Lakonan

Pasangan pelakon Sweet Qismina dan Adam Lee mendedahkan mereka sering menitik beratkan mengenai batasan ketika melakonkan watak bersentuhan atau intim sejak belum berkahwin lagi.

Menurut Adam, mereka akan tetap kekal menjaga dan saling mengingati antara satu sama lain sebelum menjayakan sesuatu babak yang memerlukan sentuhan.

Malah, Adam juga menyatakan dia pernah menarik diri daripada sebuah tawaran lakonan yang memerlukannya melakonkan babak yang agak keterlaluan.

“Semasa kami dalam tempoh pertunangan pun kami masih menjaga batas dan sering mengingatkan. Saya elak terima naskhah yang memerlukan babak intim berlebihan.

“Mungkin lepas berkahwin benda tu tetap sama je dan kami akan kekalkan itu. Dan kalau boleh saya nak terlibat dalam filem aksi dan drama sebab itu memang minat saya.

“Sebab saya turun 10kg ni pun sebab saya buat tiga job yang memerlukan babak aksi,” kata Adam.

Dalam pada itu, Sweet turut menyatakan mereka telah banyak perkara dalam menjaga batas sewaktu berlakon sepanjang tempoh bertunang.

Sweet juga menyatakan dia lebih memilih untuk berbincang dengan pengarah terlebih dahulu sebelum menjayakan sesuatu babak tanpa mengganggu jalan cerita.

“Berlakon ini satu kerjaya, jadi kita tak boleh elak kalau ada babak tentang hubungan dalam sesebuah naskhah. Paling penting, kita kena tahu jaga batas dan apa yang patut atau tidak selepas ini.

“Bila berlakon, kita boleh berbincang dengan pengarah untuk ubah perkara yang kita rasa tidak sesuai tanpa mengganggu jalan cerita.

“Tapi kita tidaklah pernah halang dan cakap tak boleh buat itu ini. Cuma, contohnya kalau ada laga pipi, sebenarnya ada banyak lagi cara lain yang kita boleh ubah untuk tetap menjayakan babak itu,” katanya.

 

 

 

 

Fatin Nurain