Syarat Miss Universe Diubah, Restu Datuk Amelia Henderson Diambil Sebagai Petanda Baik

Pelakon dan pengacara, Amelia Henderson telah mendapat restu datuknya untuk memasuki pertandingan Miss Universe Malaysia pada tahun ini.

Menurutnya, perkara yang berlaku dalam keluarganya baru-baru ini diambil sebagai satu petanda baik untuk mengambil serius perkara itu.

“Atuk saya sudah 94 tahun yang sudah kabur pandangannya dan kadang-kadang tak berapa nampak saya setiap kali datang berjumpanya. Pendengaran dia pun kurang jelas.

“Ibu saudara saya ada hantar sebuah video bertanya kepada atuk sama ada patutkah saya sertai Miss Universe Malaysia? Dia terus setuju dan cakap saya patut cuba nasib.

“Lagilah saya tertarik nak masuk kerana bagi saya itu sebuah doa daripada atuk saya. Sekarang saya serba-salah kalau tak tunaikannya macam mana pula? Kita tengoklah macam mana,” katanya semasa ditemui di majlis berbuka puasa Rizman Ruzaini di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pelakon filem Pulau ini mengakui banyak hal yang perlu dipertimbang terlebih dahulu sebelum menyertai pertandingan itu kerana dia berhasrat untuk melakukan yang terbaik.

“Sebab sekarang banyak urusan kerja masih perlu saya fikir juga. Untuk mengambil kelonggaran pergi luar negara, jalani latihan, semestinya saya kena beri yang terbaik dan perlu tersusun,” ujarnya.

Sementara itu, dia turut mengambil kira prinsip pertandingan itu terutama soal pemerkasaan wanita dalam membuat pilihan.

“Pada saya, pemerkasaan wanita merangkumi kemampuan dan kebolehan wanita untuk memilih. Saya rasa perkara itu sangat penting untuk seorang wanita merasakan dirinya perkasa.

“Saya tak nak buat sesuatu yang saya rasa diri tidak selesa. Tapi kalau saya ada kuasa memilih di situ, saya rasa itu yang akan menentukan keselesaan untuk betul-betul ambil keputusan menyertainya.

“Kalau pilihan saya tak didengari dan terpaksa melakukan sesuatu demi puaskan pihak tertentu, saya takkan masuk. Lebih baik saya fokus pada rezeki yang ada sekarang, sudah cukup,” jelasnya.

Sekadar info, Miss Universe kini sudah membenarkan wanita bercerai, berkahwin dan ibu yang berusia 18 tahun hingga 27 tahun untuk bertanding dalam ratu cantik terbesar dunia itu.

Maya Basir