Categories: HiburanTrending

Tak Kisah Karier Seni Sendu, Syafiq Farhain Masih Terima ‘Job’ Menyanyi Di Hujung Minggu – “Saya Utamakan Kerja Tetap Sebagai Pegawai Bomba”

Penyanyi, Syafiq Farhain mengaku masih menerima undangan menjayakan persembahan nyanyian meskipun sibuk dengan tugas sebagai pegawai bomba dan kehidupan rumah tangganya.

Walau bagaimanpun, tawaran nyanyian yang diterima tidaklah sebanyak dahulu kerana prioritinya kini adalah sebagai penjawat awam.

Menurut Syafiq yang juga anak kandung kepada vokalis kumpulan Iklim, Allahyarham Saleem, dia hanya menerima tawaran nyanyian pada hujung minggu sahaja.

“Saya tak nafikan, karier nyanyian agak perlahan dan semacam sepi saja ketika ini.

“Tapi, sebenarnya saya masih ada dalam industri dan tetap terima juga tawaran persembahan menyanyi pada hujung minggu.

“Cuma, untuk beri komitmen menyanyi di hari bekerja biasa, saya selalunya tidak dapat melakukannya sebab perlu utamakan tanggungjawab pada kerja tetap sebagai pegawai bomba.

“Ditambah, saya sekarang bertugas di Bahagian Pengurusan Korporat, Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya.

Berdasarkan laporan Harian Metro, Syafiq mengaku tidak mementingkan populariti dan tidak kisah jika undangan nyanyian yang diterimanya agak perlahan.

Baginya, dia lebih mengutamakan bakat berbanding mengejar populariti.

“Semuanya bergantung pada rezeki. Cuma, untuk saya rezeki menyanyi itu masih ada, tapi kebanyakan ‘show’ yang saya boleh terima untuk buat pada hujung minggu saja.

“Sebab itu, nampak saya macam menyepi dan memang tidak dinafikan jugalah. Namun, siapa yang mengikuti saya di media sosial akan tahu setiap aktiviti-aktiviti yang saya lakukan,” jelasnya.

Sumber : Harian Metro

Syamir Shafie