“Tak Masuk Akal. Kalau Betul Dijerut Dengan Buai, Bukan Ke…” – Che’ Puan Besar Khaleeda Mohon Pihak Polis Siasat Semula Kes Kematian Baby Syifaa

Isteri Tuanku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che’ Puan Besar Khaleeda memohon pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuka kertas siasatan semula bagi kes kematian bayi perempuan berusia 15 bulan iaitu Baby Syifaa.

Che Puan Besar Khaleeda menerusi hantaran di Instagram story miliknya meluahkan pendapat mengenai kes kematian Baby Syifaa yang dikatakan sangat tidak masuk akal dan mustahil mati akibat terjerut buai.

Menerusi hantaran Instagram story yang lain, Che Puan Besar turut mempersoalkan bagaimana kesan ‘jerut’ di leher bayi syurga itu menimbulkan rasa curiga.

   

   

Terdahulu, Baby Syifaa atau nama sebenarnya Nour Rania Asyifaa Yuseri ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai lehernya tersangkut pada kain buaian ketika dalam jagaan pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan, Seremban.

Pada 30 Mac lalu, bapa mangsa, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia akibat kepala terjerut pada kain buaian, serta hanya memberikan masa dua minggu kepada pihak polis untuk mengemukakan hasil siasatan selanjutnya.

Dalam siasatan awal polis, pengasuh bayi itu mendakwa mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan leher dan kepalanya terkeluar daripada buaian dan tergantung pada kain buaian, manakala badannya berada di dalam buaian.

Hasil bedah siasat Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban pula merumuskan tekanan pada leher menjadi punca kematian bayi berkenaan.

Terkini, pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian Baby Syifaa ditetapkan semula pada 29 Jun depan di hadapan Mahkamah Koroner.

Sumber: Utusan Malaysia, Kosmo, Harian Metro, Instagram Che Puan Besar Khaleeda

Aqilah Paharuzi