Lupa Dunia Lakonan, Apa Alasan Wani Kayrie?

Berlakon sudah, menyanyi dan berlawak pun sudah. Selebriti berusia 19 tahun ini walau bagaimanapun mengaku tidak berasa penat dengan segala percubaan yang dilakukan.

Bagi Wani Kayrie, dia tidak akan mengalah dan baginya setiap hari adalah proses pembelajaran.

“Sebelum bergelar penyanyi saya sudah berlakon. Cuma saya rasa jiwa lebih terarah kepada dunia nyanyian.

“Berlakon memerlukan masa dan komitmen yang sangat tinggi. Saya pula masih sibuk menghabiskan pembelajaran di MSU, Shah Alam. Jadi lebih baik saya fokus kepada dua hal iaitu nyanyian dan pelajaran sahaja buat masa ini,”katanya kepada Xtra.

Dalam masa sama, Wani yang baru sahaja tampil dengan single berjudul Magika memberitahu bulan Januari ini bakal menyaksikan jadualnya cukup padat.

“Saya akan menduduki peperiksaan semester akhir dalam masa sama juga perlu mempersiapkan diri untuk persembahan minggu pertama program Dansa & Sing yang jatuh pada hari sama.

“Nak kata penat, memang penat cuma ini pilihan yang saya buat sendiri. Jadi saya perlu all out untuk memastikan keduanya berjalan dengan lancar,” katanya yang merupakan bakal graduan jurusan Undang-Undang ini.

Oleh: Fas

SGMS Faida