Tak Nak Guna Nama Eira Syazira & Azad Jasmin, Syazwan Shuhaimi Mahu Usaha Sendiri

Penyanyi baru, Syazwan Shuhaimi enggan menggunakan nama pasangan pelakon, Eira Syazira dan Azad Jasmin untuk dikenali dalam industri seni.

Merupakan adik kepada Eira, Syazwan kini muncul dengan single yang berjudul Sang Purnama ciptaan Shazee Ishak dan Audi Mok.

“Saya percaya dengan kebolehan sendiri. Kakak dan abang ipar saya lebih dikenali menerusi bidang lakonan jadi saya mahu mencipta nama dalam bidang nyanyian.

“Saya tak nak guna jalan pintas sebab saya mahu belajar sendiri bagaimana mahu bertapak dalam industri hiburan Malaysia. Saya percaya perkara itu akan membawa saya lebih jauh ke hadapan.

“Kalau nak elak daripada dikaitkan pun tak boleh kerana kami memang ada hubungan kekeluargaan, Eira kakak yang sangat saya sayangi. Mereka sangat memberi motivasi dan sentiasa menyokong saya, begitu juga sebaliknya,” katanya.

Bercerita mengenai Sang Purnama, Syazwan tampil berbeza berbanding penyanyi lain dengan menampilkan sesuatu yang rancak.

“Lagu ini adalah sebuah ciptaan bergenre pop dansa dengan sedikit elemen jazz dan R&B, saya sengaja lari dari kebiasaan untuk mencabar diri sejauh mana kemampuan saya dalam bidang muzik.

“Melodinya catchy dan easy going kerana saya mahukan sesuatu yang mudah diterima ramai. Selain itu, saya juga turut mencabar diri dengan mempelajari rutin tarian selama setahun bersama koreografer, Faruq Suhaimi, agar selari dengan konsep muzik yang saya bawakan,” tambahnya.

Lagu Sang Purnama boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di YouTube RocketFuel Network.

Padin