Categories: HiburanTrending

Tak Sabar Mahu Beraksi Di Konsert Berskala Besar, Amir Masdi Bersedia Perbaiki Kelemahan Diri

Penyanyi, Amir Masdi meluahkan hasrat untuk menganjurkan konsert berskala besar secara solo pada tahun hadapan.

Baginya, konsert tersebut dapat memberi kepuasan kepada dirinya sebagai anak seni di serta peminatnya yang telah lama menantikan perkara itu.

Amir atau nama sebenarnya, Amir Syazwan Masdi memberitahu sedang melakukan perancangan ke arah merealisasikan impiannya itu.

“Semuanya masih dalam perancangan termasuk lokasi yang dipilih untuk mengadakan konsert terbabit.

“Saya juga mempunyai lagu yang cukup untuk dipersembahkan dalam konsert nanti,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, setelah menjayakan beberapa showcase Album Tour sepanjang tahun ini, dia berasa lebih yakin dan teruja untuk memberikan persembahan yang terbaik dalam konsert berskala besar itu kelak.

Akui terdapat beberapa kelemahan yang perlu dibaiki, pelantun lagu Kau Sakiti itu bersedia untuk membuat persiapan sepatutnya demi memberikan yang terbaik kepada peminatnya.

“Saya juga dapat mengukur baju di badan sendiri ketika beraksi di pentas. Selain itu persediaan yang perlu dibuat jika mahu mendendangkan lebih 15 lagu,” jelasnya.

“Saya juga perlu memperbaiki cara berinteraksi dengan peminat dengan lebih relaks dan santai. Maklumlah, saya seorang yang pemalu dan selalunya saya akan menyanyi saja ketika persembahan.

“Tapi berbeza dalam showcase album jelajah ini, saya yang perlu mengawal pentas dan ia adalah latihan buat saya sebelum buat konsert berskala besar,” katanya lagi.

Sumber : Harian Metro

Syamir Shafie