Tampil 2 Single Baharu Dalam Tempoh 2 Minggu, Zynakal Tak Rasa ‘Membazir’

Tampil dua single baharu dalam tempoh dua minggu, penyanyi rap Zynakal tidak merasakan tindakan terbabit sebagai satu ‘pembaziran’.

Zyn atau nama sebenarnya, Muhammad Raziq Rosli mengeluarkan single Sayang Aku Tanya Apa Khabar kolaborasi bersama Dayang Nurfaizah pada 6 Ogos lalu dan terbaru, Zyn muncul dengan lagu Tak Sangka bersama dua rapper berbakat, Yonnyboi dan Asyraf Nasir.

“Saya tak rasa membazir. Saya sayang dengan kedua-dua naskhah ini dan saya rasa gembira dapat mempersembahkannya kepada semua peminat.

“Lagi-lagi kini kita banyak menghabiskan masa di rumah kerana pandemik, jadi dua lagu ini dapat menjadi hadiah kepada pendengar. Saya percaya, Sayang Aku Tanya Apa Khabar dan Tak Sangka mempunyai kelebihan tersendiri,” kata Zyn.

Zyn ditemui di majlis pelancaran lagu Tak Sangka secara maya sebentar tadi.

Bercerita mengenai lagu yang dicipta oleh Zyn, Yonny dan Asyraf, single ini disusun dan diterbitkan bersama SeaTravel di samping Yonnyboii sendiri.

“Saya rasa lagu ini sangat menarik dan saya tak pernah buat lagu sebegini. Lirik yang saya tulis diilhamkan dari sikap manusia sekarang yang suka bermuka-muka, jadi saya ekspresikan dalam lagu,” jelas Zyn.

Asyraf turut berkongsi pandangan yang sama dan mengakui Tak Sangka muncul dalam nuansa yang segar.

“Lagu ni segar dan muziknya sangat lantang. Ditambah pula dengan karakter masing-masing dalam lagu ini yang juga agak kuat, lagu ini ada pendirian tegas. Ibaratnya, jika ada yang ingin menyuarakan sesuatu dengan lantang, inilah lagunya,” kata Asyraf.

Tambah Yonny, muzik video Tak Sangka agak berbeza kerana ia menampilkan sesuatu yang istimewa.

“Ia berbeza kerana menampilkan konsep animasi yang sesuai dengan keadaan masa kini. Ia menampilkan versi animasi kami bertiga dan diarahkan oleh Thaqif Saadon serta dibantu olah Hakeem Roshdi. Malah ia mengambil masa kami selama 3 bulan untuk disiapkan,” kata Yonny.

Tak Sangka boleh distrim di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music bermula 20 Ogos 2021 manakala video muzik rasminya boleh ditonton di laman YouTube Yonnyboii pada tarikh yang sama.

Padin