Tampil Kisah Penculikan Kanak-Kanak, Tujuh Dua Belas Bakal Gegarkan Panggung Mulai Esok

Isu penculikan yang melibatkan kanak-kanak merupakan kes jenayah yang sering berlaku, malah kes ‘van putih’ pernah menjadi bualan ramai serta kerap mendapat perhatian.

Syarikat produksi Osmosis Production Sdn. Bhd. telah menjadikan ia sebagai inspirasi untuk menghasilkan sebuah filem aksi berjudul ‘Tujuh Dua Belas’ yang mengangkat tema mengenai jenayah berkenaan.

Pengarahnya, Thorpe Ali berkata, idea untuk menghasilkan filem tersebut bermula sejak 10 tahun lalu dan ia tercetus dengan kisah penculikan kanak-kanak yang hangat suatu ketika dahulu.

“Mengenai tajuk Tujuh Dua Belas, ia sebenarnya memberi maksud kejadian penculikan yang berlaku dari pukul 7.00 pagi hingga 12 malam. Ia memberi mesej bahawa sekiranya berlaku kejadian sebegini, tindakan pantas harus diambil segera.

“Kejadian penculikan ini selalunya tidak menunggu masa lama kerana mudah dikesan dan filem ini menunjukkan watak utamanya berusaha untuk mencari penculik,” ujarnya

‘Tujuh Dua Belas’ menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Farali Khan yang menjadi teraju utama selain Johan As’ari dan Adam Darwisyh dan bakal ditayangkan bermula esok, 4 Mei 2023.

Lebih menarik lagi, filem ini turut menampilkan pesilat kelahiran Indonesia yang popular di media sosial iaitu Chintya Chandranaya.

Ia mengisahkan tentang Safia, seorang atlet seni mempertahankan diri yang terpaksa bertarung nyawa untuk menyelamatkan anak saudaranya yang diculik oleh sekumpulan penyeludup organ manusia.

Mengenai keputusan untuk menerbitkan sebuah filem aksi, Thorpe memberitahu berdasarkan pemerhatian yang dibuat, genre aksi merupakan antara yang digemari penonton selain filem-filem bergenre seram dan komedi.

“Kebanyakan filem aksi selalunya memaparkan watak lelaki selaku tunjang utama, tetapi filem Tujuh Dua Belas ini mengangkat golongan wanita yang lincah dalam seni bela diri.

“Disebabkan itu saya memilih pelakon seperti Farali Khan kerana dia memiliki asas seni bela diri MMA, begitu juga pemilihan Chintya yang sememangnya tular dengan aksinya menendang tong gas terutama sekali di YouTube,” jelasnya.

Nurul Hana