“Tanya Pasal Berlakon Saya Boleh Jawab, Pasal Prosedur Saya Tak Pandai…” -Sharnaaz Ahmad Mahu Tarik Balik Tuduhan Cederakan Pengawal Keselamatan

Pelakon Sharnaz Ahmad hadir ke Mahkamah Majistret hari ini untuk mengemukakan representasi bagi mengkaji semula pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan tahun lalu.

Memetik laporan Berita Harian, Peguambelanya, Datuk Abu Bakar Isa Ramat berkata,  pihaknya dalam proses menyiapkan representasi untuk menggugurkan pertuduhan terhadap anak guam.

“Mahkamah sudah bersetuju dengan permohonan pihak pembelaan dan menetapkan tarikh sebutan pada 5 Mei depan,” katanya.

Menurut Sharnaaz atau nama penuhnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 38, dia menerima keputusan pihak mahkamah dengan hati yang terbuka meskipun kes sudah berjalan sejak Januari lalu dan akhirnya terpaksa berlanjutan sehingga Mei ini.
“Saya rasa proses mahkamah memang lama, sebab saya pernah bercerai jadi saya tahu.
“Kena faham bukan kita seorang yang hakim nak layan.. kita ada prosedur kena ikut caranya dan hormati mahkamah.
“Alhamdulillah, setakat ini perjalanan sangat lancar, dan kita pun dah nak puasa jadi saya harap benda ni boleh selesai dalam tempoh itu. Kita tengok mana yang terbaik.

“Mengenai perkara ini, saya serahkan kepada yang lebih arif. Kalau hendak tanya saya pasal berlakon, saya boleh jawab. Tapi kalau hendak cerita pasal prosedur, saya tak pandai.

“Saya serahkan kepada pihak yang tahu bagaimana hendak menguruskan keadaan ini. Jadi, diharapkan apabila ada dua peguam yang sangat hebat di sebelah saya, saya senyum sahajalah,” jelasnya.

 

Terdahulu, Sharnaaz mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim atas dakwaan mencederakan seorang pengawal keselamatan, tahun lalu.

 

 

Sumber : BH

Salma Syahbuddin