Taylor Swift Kini Bergelar Doktor, Terima Ijazah Kehormat Dari NYU

Penyanyi terkenal antarabangsa Taylor Swift atau nama sebenarnya Taylor Alison Swift telah menerima ijazah kehormat kedoktoran seni dari Universiti New York (NYU) dan menyampaikan ucapan perasmian majlis graduasi yang disaksikan oleh ribuan penonton dan graduan ‘class of 2022’ di Stadium Yankee pada Rabu lalu.

Sebelum ini, Swift, 32, dikenali dengan pelbagai gelaran yang diberikan oleh pihak media dan peminat namun kini dia berjaya menambah satu lagi gelaran iaitu doktor (Dr).

Tampil segak dengan jubah doktor kehormat berwarna ungu, Swift berseloroh dengan khalayak bahawa dia berada di majlis graduasi ini kerana mempunyai lagu yang berjudul ‘22’.

Pemenang Grammy itu antara tiga penerima ijazah kehormat dari universiti tersebut. Walaubagaimana, ijazah kehormat ini merupakan ijazah kolej pertama untuk Taylor Swift.

Dalam ucapan perasmian, Swift juga menitipkan beberapa pesanan kepada kepada para pelajar agar tidak malu untuk mencuba.

“Saya tidak pernah mendapat pengalaman belajar di kolej seperti biasa. Saya pergi ke sekolah tinggi awam sehingga gred 10 dan kemudian menamatkan pendidikan saya dengan menghabiskan tugasan di terminal lapangan terbang.

“Saya sama sekali tidak rasa layak untuk memberitahu anda apa yang perlu dilakukan. Anda semua telah berkorban dan belajar dan mengimpikan apa yang anda peroleh hari ini.

“Saya tidak akan memberitahu anda apa yang perlu dilakukan kerana tiada siapa yang menyukainya, tetapi saya akan memberikan anda tip, apa yang saya lakukan semasa saya mula menjadikan impian saya sebagai kerjaya.

“Jangan pernah malu mencuba,” ucap Swift.

Swift juga menasihatkan kepada graduan disitu membuat pilihan yang terbaik dalam kehidupan mereka.

“Kehidupan boleh menjadi berat terutamanya jika anda cuba menanggungnya sekaligus. Untuk bergerak ke fasa seterusnya dalam kehidupan, anda perlu tahu bijak memilih dan melepaskan.

“Maksud saya, anda perlu tahu apa yang perlu disimpan dan apa yang perlu dilepaskan. Anda tidak dapat menanggung semuanya dalam satu masa.” ujar Swift ketika berucap

Untuk rekod, Taylor Swift telah memulakan kerjaya seninya sejak berusia 14 tahun. Kini, sebanyak 100 juta albumnya telah terjual dan memenangi pelbagai anugerah antaranya artis wanita pertama yang merangkul anugerah Album Terbaik sebanyak tiga kali di Grammy Award.

Atiqah Johari