Teka-Teki Terjawab! Janna Nick Sah Jadi Isteri Dini Schatzmann

Pelakon dan penyanyi Janna Nick, 28, selamat bergelar isteri kepada pelakon Dini Schatzmann, 29, pada jam 8:35 di sebuah masjid di Langkawi, pada Sabtu.

Memetik laporan Gempak, pasangan tersebut dinikahkan dengan sekali lafaz oleh Pengerusi Masjid Aisyah, Haji Othman Yahya, berwalikan bapa dan bersaksikan sepupu pengantin perempuan.

Dalam majlis pernikahan itu, Dini menyerahkan mas kahwin sebanyak RM2,703 kepada Janna dan seutas rantai emas.

Jumlah mas kahwin tersebut merupakan simbolik tarikh perkenalan mereka pada 27 Mac 2019.

Majlis tersebut dimeriahkan lagi dengan kehadiran ahli keluarga, rakan selebriti dan sahabat karib pasangan dua sejoli ini.

Antara rakan artis yang hadir ialah Izzue Islam, Nora Danish, Ain Edruce, Puteri Sarah Liyana, Nadia Brian, Mawar Rashid, Dayah Bakar dan ramai lagi.

Majlis resepsi Janna dan Dini akan diraikan di sebuah resort terkemuka di Langkawi.

Selain itu, malam tadi berlangsungnya majlis doa selamat dan yassin yang turut dihadiri penceramah, Ustaz Wadi Annuar dan rakan-rakan artis serta ahli keluarga kedua-dua belah mempelai.

Maya Basir