“Terpaksa Bincang Lagu Guna FaceTime” – Bael0n Rakam Kenangan Manis Zaman Persekolahan Menerusi ‘Di Sini’

Penyanyi Bael0n tampil dengan sebuah lagu cukup peribadi dalam hidupnya berjudul ‘Di Sini’ yang berkisar kenangan manis yang tersemat dalam hatinya sewaktu di zaman persekolahan.

Menurut Bael0n, dia belajar mengenai nilai persahabatan yang selamanya memberikan perasaan teristimewa dalam diri sejak di bangku sekolah. Bahkan, semangat untuk menjadi penyanyi serta penulis lagu sudah berkobar sejak dari sana lagi.

Menerusi ‘Di Sini’, Bael0n mahu galakkan orang ramai supaya sentiasa bersyukur dan menghargai apa jua hubungan, baik persahabatan atau cinta. Katanya, sesiapa juga takkan pernah jangka bila seseorang itu akan pergi meninggalkan kita.

Penghasilan lagu ini juga sebenarnya lagu ini sudah dibuat sejak beberapa tahun lalu dimana Bael0n menulis sepenuhnya ‘Di Sini’ dengan bantuan seorang penerbit iaitu Bo.

“Saya menggambarkan lagu ini seperti lagu-lagu pop dari era 1970-an dan 1980-an. Saya memang nak mood lagu sebegitu kerana ingin tonjolkan lagi vokal yang lebih baik berbanding lagu-lagu sebelum ini,” katanya.

Bael0n tidak dinafikan penghasilan ‘Di Sini’ sebenarnya sangat-sangat mencabar kerana dilakukan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Bo pula menjadi kontak rapat kepada individu dijangkiti Covid-19.

“Memang mencabar kerana sewaktu menyiapkannya, kita berada di fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang perlukan surat rasmi untuk keluar. Saya terpaksa merakam lagu ini tanpa kehadirannya secara bersemuka dan cuma guna FaceTime. Lagu ini pun belum siap sepenuhnya ketika rakaman itu.

“Itulah juga sebab lagu ini berdurasi pendek. Kami cuma guna lirik yang belum siap untuk dirakamkan. Kalau diberi peluang dan ada permintaan, saya akan keluarkan lagu penuh versi akustik yang lebih istimewa,” katanya.

Bertitik tolak daripada menjadi penghibur di TikTok, kini nama Bael0n semakin meniti di bibir peminat muzik tempatan. Bahkan, dia berjaya membuktikan banyak sisi berbeza dalam bakat nyanyiannya sehingga kini.

‘Di Sini’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.

Maya Basir