“Terubat Rindu…” – Kongsi Video Terbaru Sambal Jawa ‘My Style’, Instagram Siti Sarah Akan Kekal Aktif

Akaun Instagram milik Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang mempunyai lebih 2.8 juta pengikut akan kekal aktif untuk tatapan peminatnya.

Difahamkan, akaun terbabit kini dikendalikan oleh ahli keluarga Allahyarham dan akan berkongsi segala perkembangan terkini empat anaknya serta menjadi ruang promosi perniagaan yang diusahakan arwah.

Terbaru, akaun terbabit memuat naik video masakan ‘My Style’ yang popular dalam kalangan peminat Sarah.

“Assalamualaikum semua peminat dan kawan-kawan arwah Sarah. Kami daripada pihak Shuib dan seluruh keluarga ingin merakamkan ucapan terima kasih atas kasih sayang yang diberikan kepada arwah sehingga ke hari ini.

“Sedar tak sedar, lebih seminggu arwah pergi meninggalkan kita. Kasih sayang yang disemai arwah akan terus diabadikan menerusi akaun Instagram ini dan selepas ini, akaun ini akan digunakan untuk anak-anak serta promosi perniagaan yang diusahakan oleh arwah.

“Sebelum arwah pergi, arwah sempat merakamkan beberapa video masakan terakhir ‘My Style’ yang memang digemari oleh ramai followers. Untuk pengtahuan semua, arwah memang gigih merakam dan keluarkan idea masakan, semuanya untuk peminat yang disayanginya.

“Jadi, sebagai tanda terima kasih, kami akan kongsikan video-video tersebut khas untuk peminat yang selama ini menyokong. Terus sama-sama doakan dan sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah,” tulis pengendali akaun.

Di ruangan komen, rata-rata peminat serta rakan artis memberikan reaksi positif dan mengatakan rindu mereka untuk mendengar suara Sarah telah terubat.

Pada 9 Ogos lalu, Sarah menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat Covid-19.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, jam 1.20 tengah hari pada hari yang sama.

Padin