Teruja Berlakon Filem Pertama, Adriana Adnan Bintangi Naskhah Seram

Pelakon dan pengacara, Adriana Adnan teruja mendapat peluang untuk membintangi filem pertama berjudul Emp4t.

Menurut Adriana, pada awalnya projek ini hanyalah sekadar drama bersiri namun akhirnya ia dikembangkan menjadi filem.

“Saya sendiri tak sangka kerana ketika ia memulakan penggambaran pada 2021, Emp4t adalah drama bersiri. Kemudian, pihak produksi membuat keputusan untuk menjadikan ia filem.

“Jadi, saya kembali ke set penggambaran untuk menambah babak-babak yang diperlukan untuk mengembangkan lagi naskhah ini.

“Saya sendiri sangat teruja kerana ini merupakan filem pertama saya. Sekian lama beraksi dalam drama, saya berpeluang untuk mengasah bakat di layar lebar,” katanya.

Adriana ditemui di majlis pelancaran filem Emp4t terbitan Lomo Pictures di Alchemist Code, The Vertival, Bangsar South, baru-baru ini.

Tambah pengacara program Hello Doktor TV3 ini, dia memainkan watak berbeza berbanding karakter yang pernah dijayakan sebelum ini.

“Menerusi filem seram arahan Silver Yee dan Ayez Shaukat Fonseka ini, saya menjayakan watak Sri, seorang wanita yang mempunyai kelebihan melihat sesuatu yang tak dapat dilihat orang biasa dengan mata kasar.

“Saya juga rasa bertuah kerana dapat bekerjasama dengan pelakon lain seperti Syafie Naswip, Alvy Joanna, Nur Farisha Amira dan ramai lagi,” katanya.

Bertemu dengan Ayez Shaukat Fonseka selaku pengarah, filem ini bakal ditayangkan pada Mei ini.

“Sebelum ini, Lomo Pictures terkenal dengan jalinan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa seperti China, Hong Kong, Taiwan dan Singapura. Produksi ini juga pernah menerbitkan filem Haunted Hotel, Small Town Heroes dan Gila Gusti.

“Kali ini filem Emp4t memberikan dimensi berbeza. Hasil kerjasama dengan Fortunes Studios, ANT3, TNT Food dan MyBest Global Express, filem ini berkisarkan mengenai sekumpulan remaja yang memiliki pelbagai latar belakang serta konflik memiliki pancaindera keenam. Kisah remaja yang mampu melihat dan merasai alam ghaib ini menjadi premis naskhah Emp4t,” katanya.

Padin