Tetap Sertai Kejohanan Ironman Walaupun…

Penyanyi, Alif Satar tidak mahu menjadikan kecederaan bahagian kanan bahunya sebagai penghalang untuk menyertai Kejohanan Ironman Langkawi pada bulan September depan.

Alif berkata, dia memberikan tempoh rehat daripada berenang sementara waktu bagi memastikan masalah pada bahu yang membabitkan otot, ligamen dan tendon pulih.

“Saya mengalami kecederaan pada bahagian bahu kanan ketika menyertai papan luncur salji di Jepun baru-baru ini. Jadi buat masa ini, saya berehat seketika daripada sukan renang kerana tidak mahu kecederaan itu semakin teruk.

“Sekiranya orang tepuk daripada belakang secara kuat boleh menyebabkan kedudukan itu berubah. Malah, saya juga perlu berhati-hati ketika tidur kerana posisi bahu juga berubah jika tersalah kedudukan.

“Semoga posisi bahu ini kembali pulih secepat mungkin kerana berenang adalah antara sukan yang tersenarai dalam Kejohanan Ironman terbabit. Jika tidak, saya akan menggunakan teknik renang berbeza yang tidak memberikan impak kepada bahu,” katanya kepada Xtra.

Alif berkongsi mengenai perkembangan dirinya ketika ditemui di majlis sambutan raya bersama kelab peminatnya, Alif Satar Official (ASOFC) baru-baru ini.

Sementara itu, Alif memberitahu dia kini perlu bijak mengawal pemikiran dan juga tekanan jika ingin mendapatkan keputusan yang positif untuk penampilan dalam Kejohanan Ironman yang bakal menjelang.

Oleh: Zara Taalita

SGMS Faida