#ThrowbackXTRA: Pelik! Pernah Terima Barang Kemas Dari Peminat, Yusry Imbau Zaman Jadi Kegilaan Wanita

Pengarah terkenal Datuk Yusry Abdul Halim tampil mengimbau kenangan pelik sewaktu bersama kumpulan KRU suatu ketika dahulu.

Umum tahu, KRU merupakan pop band yang terdiri daripada tiga adik-beradik iaitu Datuk Norman, Yusry dan Edry.

Malah, kumpulan ini juga pernah menjadi kegilaan ramai dalam kalangan peminat terutamanya golongan wanita.

Menurut Yusry, kemunculan mereka pada era 90-an dahulu meninggalkan banyak momen manis dan pelik buat dirinya sehingga kini.

“Semua masih memberi memori yang baik-baik belaka. Tapi dengan umur saya sekarang ni bila dah berkeluarga, saya rasa biarlah benda tu terjadi untuk anak muda sebab saya rasa perkara tu saya pernah lalui , hargai dan simpan dalam hati,” katanya.

Dalam pada itu, Yusry turut berkongsi bahawa dia pernah menerima bungkusan barangan kemas yang dihantar oleh peminatnya ketika nama mereka mula meningkat naik.

“Banyak, saya tak ingat. Tapi, salah satu yang buat saya tersentuh sangat apabila  seorang peminat dia membungkus dan post gelang emas dan rantai emas.

“Saya rasa mak dia punya kot. Saya pun macam kenapa macam tu sekali. Nasib baik ada alamat, so saya hantar semula kepadanya,” jelasnya.

Terharu apabila dirinya dihargai, Yusry bagaimanapun mengakui terkejut dengan tindakan peminatnya itu.

“Tapi macam tu sekali sebab nak attention kan. Walaupun dia dapat perhatian kerana dapat balasan, tapi janganlah macam tu. Itu antara benda pelik yang saya ingat. Ada juga yang datang rumah dan mengaku dia isteri Norman,” katanya.

 

Fatin Nurain