“Saya Berasal Dari Broken Family, Banyak Benda Yang…” – Waris Sedih Ulas Isu Perceraian Rakan Artis

Pelantun lagu Rembau Most Wanted, Waris mengaku agak sensitif untuk mengulas dengan lebih lanjut mengenai isu perceraian yang terjadi sejak kebelakangan ini terutamanya dalam kalangan rakan artis.

Menurutnya, dia sedih dengan isu yang melanda dunia seni terutamanya apabila melibatkan kes perceraian dan kecurangan yang berlaku dalam rumah tangga.

Ini kerana, konflik yang berlaku sebenarnya memberi kesan yang mendalam terhadap pemikiran dan tumbesaran anak-anak.

“Saya datang daripada broken family dan saya tak sokong apa yang sedang berlaku dalam industri kita sejak akhir-akhir ini.

“Saya dibesarkan tanpa keberadaan seorang ayah dan mak saya yang struggle dengan arwah atok dan wan pada ketika itu.

“Jadi saya faham apa anak-anak akan rasa bila sosok seorang ayah tidak ada dalam kehidupan mereka.Tapi, saya tak marah orang sebab Islam pun ajak kita supaya jangan marah pelaku tapi marah atau bencikan dosa yang membawa kemungkaran,” katanya.

Waris berkata demikian seusai majlis Malam Gala dan Tayangan Filem Didi & Friends The Movie di GSC Starling Mall, Petaling Jaya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Waris atau pemilik nama sebenar Muzzammil Alias, 35, mendedahkan banyak benda yang seharusnya dilakukan bersama sosok seorang ayah tidak dapat dinikmatinya.

Saya sebagai anak broken family, banyak benda yang saya hilang. Saya tak pandai bertukang, sebab saya tiada ayah.

“Sungguhpun begitu, dari masa ke masa, mak saya lengkapkan saya dengan kemahiran yang sepatutnya ayah saya ajar.

“Macam sekarang bila dah ada dua orang anak, saya ajar anak saya macam mana nak baiki paip. Dulu yang ajar saya semua itu adalah pak cik saudara. Saya belajar macam-macam tanpa kehadiran lelaki bernama ayah termasuk seni mempertahankan diri,” jelasnya.

 

Salma Syahbuddin