Tidak Mahu Terikat, Sissy Iman Selesa Bergerak Sendiri

Penyanyi Sissy Iman mengakui selesa diuruskan oleh ahli keluarga sendiri berbanding terikat dengan syarikat pengurusan artis.

Kata penyanyi berusia 24 tahun ini, meskipun sentiasa ditemani ibu atau bapa memenuhi undangan nyanyian, dia tidak pernah rasa terkongkong.

“ Saya lebih selesa dan seronok jika bonda dan ayahanda menemani saya ke mana-mana. Ini kerana mereka lebih kenal siapa diri Sissy yang sebenar.

“ Tipulah kalau saya kata tak pernah ada selisih faham. Cuma bila ada waktu-waktu idea kami bercanggah, biasanya tak lama. Sebab itu saya lebih memilih diuruskan oleh ahli keluarga buat masa ini,” katanya kepada XTRA.

Pernah bernaung di bawah syarikat rakaman FMC Music selama lima tahun, Sissy Iman mengakui dilamar lapan buah syarikat rakaman selepas tamat kontrak.

“ Banyak syarikat rakaman dan pengurusan artis yang bertanya sama ada saya berminat untuk bernaung di bawah mereka atau tidak.

“ Saya menolak dengan cara baik kerana banyak hati yang perlu dijaga. Tetapi, untuk single terbaru yang bakal keluar malam ini, saya dibantu oleh syarikat Faithful Music milik penyanyi Faizal Tahir manakala urusan promosi dikendali oleh Warner Music,” katanya.

Sissy Iman bakal tampil dengan lagu berjudul Pesanan Ayahanda yang merupakan ciptaan lima komposer hebat iaitu Faizal Tahir, Ezra Kong, ike Chan, Romeo dan Sissy sendiri.

SGMS Faida