[VIDEO] “Trend Niaga ‘Cedok Live’ Di TikTok Wujud Unsur Gharar” – PU Amin

Baru-baru ini, heboh di ruangan media sosial mengenai sebuah trend berniaga baharu iaitu melalui ‘cedok live’ tular di aplikasi TikTok.

Sekadar info, trend ‘cedok live’ difahamkan adalah perniagaan secara langsung di atas talian, dimana para peniaga akan menggunakan satu alat pengaut seperti senduk atau mangkuk untuk ‘mencedok’ barangan niaga secara rawak.

Susulan itu, pendakwah selebriti, PU Amin tampil mengulas dan memberi pencerahan mengenai trend tersebut yang dikatakan semakin menjadi-jadi.

Pendakwah selebriti, PU Amin tampil memberi pencerahan mengenai trend berniaga ‘cedok live’ yang tular di laman TikTok baru-baru ini.

Menurut Amin, cara berniaga tersebut adalah tidak digalakkan dalam agama Islam dipercayai kerana mempunyai unsur ketidakpastian dalam urusan jual beli.

“Ini yang sedang trend di TikTok sekarang, jual beli secara live guna cara cedok-cedok.

“Tidak salah untuk berjual beli, tetapi perlu ingat dan jaga halal dan haram.

“Sebenarnya amalan cedok-menyedok ini pernah diamalkan pada zaman jahiliah.

“Sebab itu kalau kita nak berniaga hendaklah jauhkan dari unsur gharar (helah mengelirukan pelanggan).

“Bila kita melihat jual beli ‘cedok live’ ini wujud perkara ketidakpastian dan hal itu sangat dilarang di dalam agama,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di TikTok miliknya.

@ustazamirulamin

Inshallah masih awal untuk stop. Kita tegur tanda sayang. Moga Allah berkati rezeki kita. Maafkan saya kerana menasihati.

♬ Emotional Islamic Music – Arslan Chaudhry

Mengulas lebih lanjut, Amin memohon setiap muslim untuk memandang serius isu jual beli ini kerana setiap perkara yang dilakukan akan dinilai oleh Yang Maha Berkuasa.

“Biar kita berniaga sedikit tetapi mendapat keberkatan dan mempunyai unsur halal.

“Walaupun ada yang berkata sekadar berniaga gula-gula sahaja, namun perlu diingat sebagai seorang muslim, sekecil perkara yang kita lakukan akan dihitung oleh Allah.

“Saya bukan ingin mengganggu periuk nasi peniaga, malah saya sokong orang untuk berniaga, tetapi berniagalah dalam keadaan halal dan dan baik.” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Amin turut mengambil pendapat individu yang lebih arif mengenai isu jual beli ‘cedok live’ ini.

“Saya juga ada merujuk kepada beberapa pakar muamalat dan mereka berkata memang ada wujud unsur gharar, unsur ketidakpastian, unsur yang sengaja dicipta-cipta dan unsur penganiayaan. Tolong kawal diri dalam hal ini, semoga Allah meredhai kita,” ujarnya.

Sumber: TikTok PU Amin, muamalat.my

Aqilah Paharuzi