Hadir Majlis Graduasi, Dua Anakanda Agong Terima Ijazah Di Universiti Terbaik United Kingdom

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat menghadiri majlis graduasi dua anakanda di University of London di Egham, Surrey, United Kingdom (UK).

Perkongsian itu dimuat naik menerusi laman sosial rasmi Facebook Istana Negara pada Isnin.

Difahamkan, pada majlis graduasi ini, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan barisan pemimpin tertinggi universiti tersebut.

Sementara itu, pada majlis graduasi yang yang berlangsung pada jam 11.00 pagi waktu tempatan, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah telah dianugerahkan ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kriminologi and Sosiologi.

Manakala, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah pula telah dianugerahkan ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengurusan dan Perakaunan.

Dalam hantaran yang sama, pihak Istana Negara turut memaklumkan, keberangkatan ini turut dihadiri oleh Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Difahamkan, institusi yang diwakili oleh kedua-dua anakanda baginda ini merupakan antara 25 universiti terbaik di United Kingdom berdasarkan laman web The Guardian University League Table 2022.

Dan, meninjau di ruangan komen, rata-rata warganet mengucapkan sekalung tahniah di atas kejayaan yang diraih dua anakanda baginda.

 

Sumber: Facebook

Salma Syahbuddin