“Tunggu Kami Kahwin” – Azri Iskandar Sah Sudah Bertunang

Pelakon Azri Iskandar mengesahkan dia sudah bertunang dengan kekasih yang merupakan penulis skrip, Dr Azra Diera, 43, di Kangar, Perlis pada 29 Jun lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Azri, 54, memberitahu dia kini dalam fasa bahagia menjalani hubungan selain sudah merancang untuk berkahwin.

“Perancangan nak kahwin mestilah jadi. Kami sedang dalam fasa gembira sebagai pasangan yang sudah bertunang sekarang.

“Kami bertunang pada 29 Jun lalu di kediaman keluarga Azra di Kangar, Perlis.

“Kami akan bernikah di Kangar juga dan majlis di sini pun ada. Cuma, tarikh saja belum ada lagi. Mungkin masa cuti sekolah akan datang, insya-Allah,” katanya.

Menurut Azri, dia menafikan dakwaan tentang dirinya terkena terkena ‘love scam’.

“Kepala otak mereka yang ada elemen scam. Hati tak baik, boleh ‘blah’,” katanya.

Pada masa sama, Azri memohon maaf kerana gambar majlis pertunangannya tidak boleh dikongsikan bagi menghormati permintaan keluarga Azra.

“Maaf, Ara (Azra) dan keluarga tak izinkan. Tunggu kami kahwin saja,” katanya.

Untuk rekod, Azri dan pelakon Ellie Suriaty sah bercerai talak satu pada 17 Mei lalu selepas 19 tahun hidup bersama.

Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 17, dan Nur Azreen, 13.

Sumber: Harian Metro

Maya Basir