Dituduh Berhenti Mengejut, Fizi Ali Tampil Beri Penjelasan – “Saya Minta Restu Semua Pihak Sebelum Berhijrah”

Baru-baru ini, timbul isu yang mendakwa penyampai radio, Fizi Ali secara tiba-tiba membuat keputusan untuk berhenti berkhidmat di stesen radio lama dan menerima tawaran dari stesen radio Hot FM.

Penerimaan tawaran tersebut dikatakan berlaku secara mengejut sehinggakan pihak sana mengalami kerugian hampir RM50,000 kerana Fizi terlibat sepenuhnya dalam persiapan program jelajah mereka yang bakal dianjurkan di empat lokasi sepanjang Ogos ini.

Tampil mempertahankan diri, Fizi menjelaskan bahawa kontraknya bersama stesen radio tersebut telah tamat pada Julai lalu.

“Kalau ikutkan memang dah tamat dah bersama dengan mereka. Kalau ikutkan bulan Julai macam itu la kot, memang sebulan dah tamat dah.

“Ada offer untuk disambung dan masa itu, saya lebih dikatakan seperti contoh untuk pemain bola tu, macam ‘free agent’ begitulah kan.

“Jadi, itu yang saya fikirkan lama juga, saya bincang dengan famili semua macam mana kan. So, bila dapat tawaran saya macam okay, Alhamdulillah, itu yang saya pergi ke sini (Hot FM),” jelas Fizi kepada XTRA.

Tambahnya lagi, Fizi atau nama sebenarnya Mohd Hafizudin Alimudin, 33, memberitahu bahawa sebelum dia ke Hot FM dia telah meminta restu daripada ibu bapanya malah dia turut mendapat restu daripada pihak sana untuk mengembangkan kariernya sebagai penyampai di Hot FM.

“Mungkin saya tak boleh terlampau menafikan yang saya pergi mengejut. Mungkin silap saya juga di situ. Cuma sebelum saya nak ke sini, saya ada minta restu daripada semua yang ada di sana. Saya tak terus pergi, saya cakap sekian-sekian dan minta restu untuk pergi ke Hot FM.

“Alhamdulillah mereka kata kalau itu untuk mengembangkan saya punya karier dan mereka restulah saya untuk kerja di sini. Di sana pun saya okay, di sini pun saya okay. Itu yang yang saya rasa tak ada masalah pun sebenarnya.

“Saya cakap dengan semua orang saya akan menjadi penyampai di sini termasuk kakitangan dan bos di sana. Saya bagi tahu kenapa nak berhijrah dan dalam hidup kita pun penghijrahan satu perkara yang perlu. Kalau ikutkan saya hampir enam tahun di tempat lama.

“Selama tempoh itu pasangan penyampai saya dah bertukar lebih lima ke enam kali. Alhamdulillah saya pun dah buat yang terbaik semasa di sana,” ujar Fizi lagi ketika ditemui pada sesi santai Jom Bekpes Bersama Hot FM di Sri Pentas, Bandar Utama, pagi ini.

Di Hot FM, Fizi digandingkan bersama Fad melalui segmen Hot FM Sembang Squad yang akan ke udara setiap hari dari pukul 3 petang hingg 7 malam.

Atiqah Johari