“Penat Nak Berpura-Pura” – Amelia Henderson Beri Bayangan Hubungan Dengan Aedy Ashraf Berakhir, Netizen Mohon Lebih Profesional!

Ciapan yang dibuat oleh pelakon Aedy Ashraf di laman Twitter miliknya baru-baru ini mencetuskan tanda tanya terutamanya mengenai status hubungannya bersama aktres Amelia Henderson.

Kali ini peminatnya pula berasa kecewa dengan dakwaan tersebut kerana menganggap hubungan kedua-dua pelakon ini baik-baik sahaja.

Sementara itu, terdapat peminat yang mempertikaikan sebab pasangan pelakon ini sudah tidak mengikuti akaun masing-masing memandangkan kedua-duanya berada dalam industri yang sama.

Malah, ada yang berharap kedua-duanya bersikap profesional kerana industri seni Malaysia tidaklah sebesar dunia hiburan Hollywood.

Namun menerusi hantaran terkini Amelia di akaun Twitter miliknya, aktres jelita itu memberitahu dia sudah mencuba melakukan yang terbaik namun akhirnya dilukai.

“Why is it that trying to be nice and do the right thing only ever gets me hurt? ” tulisnya.

Dalam pada itu, pelakon yang cukup dikenali menerusi drama rantaian Kisah Cinta Kita itu mendedahkan, dia juga sudah letih untuk terus berpura-pura.

“Sick of pretending (penat nak berpura-pura),” tulisnya lagi.

Walaupun tidak menujukan ciapan tersebut kepada mana-mana pihak secara spesifik namun, peminat bagaikan sudah tahu siapakah individu yang dimaksudkan itu.

Justeru itu, Amelia atau nama sebenarnya, Amelia Thripura Henderson masih memilih pendekatan mengunci mulut tentang spekulasi putus cinta yang sedang diperkatakan.

Pada Mac lalu, tular sebuah video yang menunjukkan Aedy melutut sambil melamar Amelia Henderson sebagai kekasih hatinya pada festival makanan 2022 yang berlangsung di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Difahamkan juga, kedua-dua pasangan pelakon ini mula rapat selepas digandingkan bersama dalam sebuah drama terbitan TV3 berjudul Kisah Cinta Kita.

Salma Syahbuddin