Ustaz Kazim Dedah Punca Tarik Diri Di Parlimen Larut – “Ia Amanat Arwah Ibu”

Pendakwah bebas, Datuk Mohammad Kazim Elias memohon maaf kepada pengundi di Parlimen Larut kerana membatalkan hasrat bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Memetik laporan Berita Harian, Mohammad Kazim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim memberitahu dia tidak mahu bertanding di kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) yang turut meletakkan adik-beradiknya sebagai calon susulan abangnya, Datuk Mohd Najmuddin Elias bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau mewakili Perikatan Nasional (PN-Bersatu).

“Saya berpegang kepada prinsip tidak bertanding dalam bidang politik jika digandingkan bersama ahli keluarga, selain ia juga amanat arwah ibu,” katanya.

Menurut Kazim lagi, pada mulanya dia tidak mengetahui bahawa Najmuddin akan bertanding untuk mewakili parti lain ketika dia mengambil keputusan untuk menandatangani watikah sebagai calon BN Parlimen Larut.

“Selepas beberapa rundingan dan perbincangan dengan keluarga, saya ambil keputusan untuk tandatangan watikah sebagai wakil BN tetapi abang saya pun tandatangan satu lagi watikah parti lain tanpa kami ketahui.

“Saya hormati dia dan beri laluan kepadanya,” jelasnya.

Memetik laporan Utusan Malaysia pula, Ustaz Kazim memohon maaf kepada pengundi di parlimen Larut atas penarikan dirinya sebagai calon malah bertekad akan sentiasa turun ke Larut sebagai pendakwah.

“Pengundi-pengundi di Larut, saya minta maaf. Walaupun (bukan sebagai calon), saya berjanji turun ke Larut sebagai pendakwah. Saya akan bantu apa yang boleh untuk sahabat dan saudara-mara saya di Larut, Kubu Gajah, Selama dan Batu Kurau. Insya-Allah, Larut dan seluruh kawasannya tetap di hati saya,” ujarnya.

Ustaz Kazim sebelum ini dinamakan calon Barisan Nasional (BN) untuk mewakili parti itu di Parlimen Larut pada PRU15 menentang calon Perikatan Nasional (PN) yang juga penyandang kerusi, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bagaimanapun, tidak sampai 24 jam selepas pengumuman dibuat Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada satu majlis di Kuala Lumpur, Ustaz Kazim memaklumkan menarik diri.

Sumber: Berita Harian Utusan Malaysia

Khairil Khusyairi