[VIDEO] Kongsi Detik Sesat Tak Jumpa Jalan Balik, Sharifah Zarina Bersyukur Abang ‘Grab Food’ Bantu Anak Sampai Rumah

Baru-baru ini, penyanyi Sharifah Zarina memuat naik sebuah video berkongsi keresahan yang dialaminya apabila anaknya sesat ketika mencari jalan pulang ke rumah.

Menerusi perkongsian video di Instagram, Zarina menceritakan situasi cemas itu berlaku ketika anaknya ingin pulang ke rumah selepas menghadiri sebuah acara.

Lebih mencemaskan, telefon bimbit anaknya, Athalia telah kehabisan bateri dan tidak boleh menggunakan aplikasi waze tersebut, malah wayar pengecasnya juga tiba-tiba rosak.

“Saya hairan sampai pukul 12.30 malam dia tak balik-balik lagi. Saya dah panik… saya tengok dekat Friends Finder dia punya last location dekat Kepong.

“Location dia tak bergerak-gerak, saya anggap telefon dia bateri habis, rupanya memang betul dia habis bateri dan wayar pengecas telefon pula tiba-tiba rosak,” katanya.

Namun begitu, pelantun lagu Langit Ketujuh itu meluahkan rasa syukur apabila anaknya itu selamat pulang ke rumah atas bantuan seorang penghantar makanan.

Menerusi video tersebut, Zarina dilihat sempat menzahirkan rasa terima kasihnya kepada individu yang bernama Muhd Zul Naim kerana membantu anaknya yang dalam kesusahan dan mendoakan kesejahteraan Zul Naim.

Atiqah Johari