Categories: HiburanTrending

[VIDEO] “Rasa Lemau Sangat Lepas Kena Covid-19” – Mahu Kembalikan Stamina, Cik Manggis Kini Aktif Dalam Surf Skating

Penyanyi dan pelakon Cik Manggis, 33, kini aktif dalam sukan ‘surf skating’.

Baru sahaja berjinak-jinak sekitar April lalu, anggota kumpulan De Fam ini menjadikan ‘surf skating’ sebagai aktiviti riadah bersama suami, Syazmin Firdaus Aminuddin.

“Saya dan suami mula menceburkan diri dalam sukan ‘surf skating’ ini semenjak April lalu. Selepas kami dijangkiti Covid-19, badan kami rasa lemau dan itu membuatkan kami mula mengikuti kelas ‘surf skating’.

“Selepas satu sesi pembelajaran, kami mula bermain secara serius. Saya akui sukan ini mengembalikan stamina saya dan suami, ia membuatkan kami banyak mengeluarkan peluh,” katanya.

Tambah pemilik nama Nurshazwani Shamsuddin ini, dia kini menjadikan ‘surf skating’ sebagai aktiviti wajib saban minggu.

“Kini, pantang sahaja ada masa terluang, pastinya saya dan suami akan bermain ‘surf skating’ kerana ia sangat menyeronokkan.

“Saya pernah mengalami kecederaan sebelum ini tetapi ia tidaklah teruk. Sekarang, saya sudah terbiasa dan kurang melakukan kesilapan,” katanya.

Manggis ditemui pada program Malaysia Boleh bersama Milo sempena sambutan Hari Malaysia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Dalam perkembangan lain, Manggis mendedahkan dia dan anggota kumpulan De Fam yang lain bakal muncul dengan single terbaharu hujung bulan ini.

“Kami memang nak buat kejutan kerana tak ramai yang tahu kami merakamkan lagu baharu. Muzik video juga sudah siap menjalani penggambaran.

“Nantikan sesuatu yang berbeza berbanding genre muzik De Fam yang terdahulu. Semoga peminat menggemari buah tangan kami,” katanya lagi.

Padin