Penyanyi hiphop, Yonnyboii tampil dengan karya baharu bersama Alyph yang berjudul ‘Sengkek’.

Kongsi Yonnyboii atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 25, Sengkek diinspirasikan daripada kisah yang pernah dilaluinya dalam mengejar impiannya.

“Tak semestinya pasal kita tak ada duit, cuma kita tak cukup dan rasa sengkek. Kita rasa ‘lapar’ untuk buat something yang lebih baik untuk kehidupan. Itu sebenarnya maksud lagu ‘Sengkek’.

“Masa saya buat lagu tu saya tengah makan kerepek. Kalau tak ada duit buat apa? Makan roti, makan kerepek itu sahaja,” katanya sambil ketawa.

Dalam pada itu, Yonnyboii juga menganggap kerjasama dengan Alyph seperti mimpi jadi kenyataan kerana dia meminati muzik Alyph sejak belum bergelar penyanyi lagi.

“Saya DM Alyph masa tu saya bukan dalam industri lagi, masa tengah nak cuba-cuba. Saya look up sound dia (Alyph) masa tu.

“Saya hantar mesej kepada dia ketika itu agak ‘bodoh’. Saya tanya macam mana nak buat lagu?, boleh tunjuk ajar? dan boleh saya pergi ke studio?,” ujar Yonnyboii ketika ditemui di majlis pelancaran single ‘Sengkek’ di Kuala Lumpur.

Bukan itu sahaja, ‘Sengkek’ ini merupakan hasil ciptaan SonaOne dan liriknya pula digubah oleh Yonnyboii dan Alyph.

Sehubungan itu, mereka berharap ‘Sengkek’ mendapat tempat di hati pendengar selain menjadi inspirasi kepada semua orang untuk mengejar impian masing-masing.

‘Sengkek’ boleh distrim di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan Youtube Music manakala video muzik single ini boleh ditonton di saluran Youtube Yonnyboii.

Atiqah Johari