Zul Ariffin Kenang Memori Bila Ashraf Menggedik…”Rasa Nak Campak Teh Tarik Kat Muka!”

Demi nama persahabatan, pelakon popular Zul Ariffin sanggup terbang ke Jakarta bagi menghadiri pengebumian sahabatnya, Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia awal pagi Selasa akibat serangan jantung.

Baca: Al-Fatihah, Pelakon Ashraf Sinclair Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

Malangnya, Zul tidak sempat sampai sewaktu upacara pengebumian, namun masih pergi ke pusara Allahyarham untuk memberi penghormatan terakhir. 

Perkara ini dikongsi melalui sebuah entri di akaun Instagram (IG) miliknya beberapa jam lalu. 

“Saya sudah sampai bro, saya datang secepat mungkin.  Maaf kerana tidak berpeluang untuk melakukan solat jenazah, mengusung jenazah kamu dan mencium dahi mu untuk kali terakhir. 

“Ia seperti baru semalam kita duduk bersama di kedai mamak di Johor, gelak sakan pasal perjalanan kita bersama.  Kamu adalah kawan sebenar pertama saya di dalam industri ini, daripada bersama-sama pergi penggambaran model, dan gagal bersama-sama, dan saya ketawa besar bila kamu memberitahu kamu ingin berlakon.

“Ketawa lebih besar apabila kamu mengajak saya pula turut berlakon dan satu hari nanti kita akan berlakon bersama. 

“Pada waktu itu, ia seakan idea yang gila tapi lebih dari sedekad selepas itu, kita berlakon bersama di dalam satu filem sebagai watak utama antagonis dan protagonis. Siapa sangka kita sampai ke tahap ini,” tulisnya. 

 

Zul bukan sahaja berkongsi memori tentang Ashraf sebagai sahabat, malah turut mendedahkan momen manis  sewaktu mereka berkongsi cerita pada satu malam. 

“Wajah kamu sangat berseri-seri apabila berbicara tentang isteri dan anak kamu, kamu sangat teruja apabila bercerita tentang keluarga kamu itu, dan bila Bunga menelefon kamu saat kamu sedang bercerita separuh jalan, itu lagi teruk! Kamu amat gedik dan mengada, rasa nak campak teh tarik kat muka. 

“Tapi itu membuktikan betapa baiknya kamu sebagai seorang insan dan cara kamu menyayangi isteri dan keluarga kamu adalah sesuatu yang berharga yang diimpikan setiap orang. Kamu sememangnya seorang yang begitu baik dan hebat. Saya akan merindui mu bro, Al-Fatihah,” tulisnya lagi. 

Baca: “Seperti Separuh Dirinya Mati” – Netizen Sayu Lihat Reaksi BCL Dan Noah Saat Pemakaman Ashraf Sinclair

Kredit Foto: Instagram @zul_ariffin

Del14