Lebih 30 selebriti terkenal termasuk penyanyi, pelawak, kumpulan dikir barat dan penceramah akan berkumpul di Kelate Charity Festival 2025 (KC Fest 2025) yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada 17 hingga 20 September ini.
Festival amal empat hari itu dianjurkan oleh Madoo Bee, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan HMS Maju Group dengan slogan Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelate.

Koordinator KC Fest, Muhammad Nazrin Mohamad Isa berkata penglibatan artis terkenal menjadi tarikan utama untuk mengajak orang ramai menyertai festival ini.
Antara barisan artis yang akan membuat persembahan ialah Datuk Awie, Datuk Nash, Faizal Tahir, Senario, Ameng Spring, Caliph Buskers, Aris Ariwatan, Rahmad Mega, Naqiu, Halim Yazid, Bob Sentuhan dan ramai lagi. Selain itu, lebih 20 penyanyi dikir popular Kelantan juga dijadualkan memeriahkan pentas.
“Program amal ini memang amat dekat di hati saya dan semua artis yang menyertainya.
“Saya rasa berbesar hati apabila ramai selebriti sudi menyokong festival amal ini.
“Saya percaya sebagai artis atau selebriti, mereka boleh guna bakat dan populariti yang ada untuk menggalakkan masyarakat supaya ambil bahagian dalam program amal sebegini.
“Sebagai penganjur, pemilihan artis dibuat dengan teliti dan mengambil kira cita rasa masyarakat Kelantan yang sukakan hiburan santai, mesra keluarga serta bercorak budaya.
“Apa yang istimewa, kami gabungkan artis kebudayaan tempatan, penyanyi terkenal tanah air, ikon masyarakat dan juga penceramah. Semua ini untuk pastikan festival ini benar-benar dekat di hati rakyat,” katanya.

Beliau mensasarkan kehadiran 50,000 pengunjung sepanjang penganjuran.
Selain persembahan artis, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik termasuk Kelate Charity Walk yang akan disertai Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, pertandingan mewarna, catur, push bike untuk kanak-kanak serta persembahan Didi & Friends.
Segmen kerohanian turut disusun dengan acara Selawat Perdana membabitkan 1111 peserta, diikuti perkongsian ilmu oleh Ustazah Asmak Husin dan artis jemputan Angeline Tan.
“Manakala Malam Kebudayaan pula akan memecahkan rekod Kelantan dengan persembahan 1111 orang pendikir di satu pentas besar dan ditutup dengan pertunjukan bunga api,” katanya.
Pengarah Eksekutif KC Fest, Muhammad Kamal Azmi Mohd Radin, menambah bahawa festival kali ini turut meraikan 500 asnaf dengan bantuan penaja termasuk Maybank, Bank Muamalat dan Agro Bank.
Menurutnya, penganjuran KC Fest adalah komitmen sosial dan bukti keprihatinan untuk membantu golongan memerlukan.
“Matlamat utama festival ini adalah untuk menggerakkan semangat kebajikan dan kesatuan rakyat.
“Kita mahu sampaikan mesej bahawa rezeki boleh dikongsi, kasih sayang boleh disemai dan budaya boleh terus dipelihara.
“Dana festival ini yang diperoleh daripada sewaan booth dan penjualan pakaian akan disumbangkan ke tabung KC Fest 2026. Insya-Allah, kami sasarkan sebanyak RM500,000 untuk tabung tersebut.
“Hasil daripada festival ini akan disalurkan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan. Bagi saya, ini penting agar masyarakat dapat melihat bahawa hiburan dan kebajikan boleh berjalan seiring sekaligus mendatangkan manfaat besar,” ujarnya.
Menjawab persoalan mengenai pemilihan lokasi, Kamal Azmi berkata Kelantan dipilih kerana negeri ini kaya dengan budaya dan semangat kebersamaan yang kuat.

“Kelantan dipilih kerana negeri ini kaya dengan budaya, tradisi dan semangat kebersamaan yang sangat kuat.
“KC Fest sebenarnya membawa mesej bahawa budaya, kesenian dan kebajikan boleh digabungkan dalam satu platform besar.
“Kelantan mempunyai keunikan tersendiri daripada sudut warisan seni, makanan tradisi sehinggalah kekuatan komuniti.
“Kita mahu Kelantan jadi titik permulaan sebelum festival ini dibawa ke peringkat lebih luas, sekaligus memperkenalkan budaya Kelantan yang sebenar kepada seluruh negara,” katanya.
Beliau berharap KC Fest bukan sekadar festival hiburan tetapi juga menjadi simbol perpaduan rakyat.
“Harapan kami agar KC Fest menjadi sebuah platform tahunan yang bukan sahaja menghiburkan rakyat, tetapi juga membina semangat bersatu hati dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Kami mahu jadikan Kelantan contoh kepada negeri-negeri lain di mana budaya, hiburan dan kebajikan boleh digabungkan dalam satu festival.
“Insya-Allah, kami berharap KC Fest dapat diangkat menjadi acara rasmi negeri Kelantan setiap tahun, demi rakyat, budaya dan kebajikan,” tambahnya.








