Malam Sabtu lalu, Axiata Arena bukan sekadar menjadi lokasi konsert, tetapi berubah menjadi medan penuh cinta, air mata dan keajaiban suara apabila Datuk Seri Rossa membuktikan sekali lagi mengapa dia masih ratu hati jutaan peminat di Nusantara.
Dari saat tirai dibuka hingga lagu penutup terakhir, aura Rossa tidak pernah pudar malah semakin bersinar, membakar semangat penonton dengan persembahan berskala mega yang penuh jiwa berlangsung selama tiga jam itu.
Menyarung pelbagai busana glamor hasil sentuhan pereka tempatan dan antarabangsa, bintang tersohor dari seberang ini tampil penuh gaya dan pesona diva menyampaikan lebih 30 lagu yang langsung tidak menunjukkan tanda-tanda letih meskipun usia mencecah 47 tahun.
Tidak sekadar tampil solo, Rossa turut membariskan nama-nama besar dan bakat-bakat baharu dalam satu malam yang padat dengan kejutan.

Kemunculan Ariel Noah menghangatkan pentas apabila mereka berduet lagu Nada-Nada Cinta yang membuatkan seluruh penonton lebih 10,000 yang hadir tenggelam dalam emosi.

Turut menyinari pentas adalah Ernie Zakri, yang tampil membawakan Hijrah Cinta dengan kawalan vokal menggetarkan jiwa.
Gandingan Rossa dan Ernie menerusi mashup lagu Masing-Masing dan Aku Bukan Untukmu bagaikan pertemuan dua diva berbeza benua meledak!
Tribute Istimewa Buat Siti Nurhaliza

Salah satu momen paling menyentuh hati adalah segmen khas buat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dimana Rossa menyampaikan lagu-lagu ikonik milik Siti termasuk Biarlah Rahsia dan Bukan Cinta Biasa.
Namun yang paling menggamit jiwa saat Siti bangun dari tempat duduk dan menyertai Rossa menyanyikan Percayalah secara spontan.
Detik manis ini bukan sahaja mengharukan Rossa, malah menjadi highlight buat seluruh penonton.
MK, Hael & Finalis One In A Million ‘Panaskan’ Lagi Suasana

Konsert ini juga menyaksikan kemunculan tiga finalis Calpis Soda One In A Million iaitu Marygrace, Kai Deva dan Zazzleen yang diberi ruang menyerlahkan bakat menyanyikan lagu-lagu popular Rossa.
MK K-Clique pula ‘menambah rasa’ apabila muncul menghangatkan pentas, sementara Hael Husaini tampil dengan duet istimewa lagu Meriah Lain Macam atas permintaan khas daripada Rossa sendiri selepas lagu itu meletup di TikTok sepanjang musim raya.

Penutup Yang Penuh Cinta
Rangkaian lagu-lagu malar segar seperti Tegar, Ayat-Ayat Cinta dan Pudar membuat penonton terbuai emosi mengenang masa lalu mereka.
Konsert ditutup kemas dengan rangkaian lagu rancak Rossa seperti Sakura, Pudar dan Hey Ladies.
Konsert Here I Am bukan sekadar persembahan muzik ia adalah satu pengalaman emosional, visual dan vokal yang menunjukkan kenapa Rossa masih kekal relevan, bahkan terus bersinar sebagai bintang Asia Tenggara.








