‘Happy Birthday’-Kejutan Agong Buat Tun M, Isteri Di Istana Negara

Sempena hari jadi Perdan Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali,  Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah telah berkenan membuat kejutan.

Menerusi video yang tular di media sosial, sebuah kek dan pulut kuning diberikan kepada Perdana Menteri sambil diiringi nyanyian lagu ‘Happy Birthday’.

Dr Mahathir menyambut hari lahirnya yang ke-94 semalam, yang turut diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Rata-rata pengikutnya di laman Instagram mendoakan agar beliau terus sihat dan dapat berkhidmat untuk rakyat. 

Dr Mahathir dilahirkan pada 10 Julai 1925 namun tarikh kelahiran rasminya direkodkan pada 20 Disember 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

Kek berbentuk piano berwarna hitam dan putih itu dihiasi dengan bunga-bungaan, sebuah biola mini, sekeping nota muzik dan buku-buku – mungkin untuk menggambarkan kegemaran Dr Mahathir membaca dan kecintaan Dr Siti Hasmah kepada muzik.

Perdana Menteri dan isteri yang mendirikan rumah tangga sejak 63 tahun lepas, kemudiannya saling menyuapkan potongan kek dan saat-saat bahagia itu turut disaksikan oleh Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong.- Harian Metro.

Kredit gambar: Bernama

SGMS Faida