Luahan Hati Mak Nyah, ‘Tak Minta Lebih Pun, Hanya Hak Sama Rata’

Sampai bila? Itu persoalan yang sering bermain di fikiran komuniti mak nyah yang berasa sering didiskriminasi oleh masyarakat sekeliling.

Dari isu pekerjaan sehinggalah ke isu sekecil tandas, komuniti ini mengaku tidak meminta-minta layanan istimewa. Cukup sekadar sebuah kehidupan tanpa tanggapan sinis orang ramai.

Bagi Linda, salah seorang mak nyah yang tinggal di ibu kota meluahkan, dia dan rakan-rakan tidak mahukan diskriminasi terhadap mereka.

“ Bukan nak tuntut hak macam kahwin sejenis atau sebagainya, cuma kami juga ingin hidup normal seperti orang lain.

“ Kami juga mahu hidup tanpa diskriminasi orang sekeliling, terima naluri kami. Kami tak minta jadi begini melainkan sudah takdir,” katanya kepada portal Sinar Harian.

Tambah Linda, apa yang diinginkan adalah hak sama rata dalam layanan sebagai seorang manusia.

“Kami minta kebenaran guna tandas sama rata, takkan kami nak guna tandas OKU pula?

“Apa yang penting kami dapat buang air kecil dan air besar, kami bukan nak bertapa dalam tandas,” katanya.

Linda pada masa sama sempat menyindir sinis terhadap sikap sesetengah wanita ketika menggunakan tandas wanita kerana kemudahan awam itu adakalanya didapati kotor serta bersepah dengan tuala wanita.

“Diri sendiri (wanita) pun tak betul. Isu tandas adalah isu kecil tetapi sengaja diperbesarkan oleh pihak tertentu,” kata Linda sinis.

Bagaimanapun Linda tidak menafikan karektor segelintir mak nyah juga menyebabkan kemarahan masyarakat terhadap komuniti tersebut.

Menegaskan sekali lagi berkaitan soal penggunaan tandas, Linda yang berasal dari Perak berkata, tiada pun keinginan meminta hak supaya pihak berwajib menyediakan tandas untuk golongan transgender.

SGMS Faida