Sebuah lagu yang asalnya dihasilkan untuk tujuan promosi produk ubat batuk kini mencetuskan fenomena di media sosial apabila semakin ramai pengguna mengakui ‘ketagih’ mendengarnya.
Jingle berjudul OBH Combi Sachet nyanyian duo sensasi Indonesia, Naykilla dan Jemsii menjadi tular di pelbagai platform digital serantau sehingga menarik perhatian ramai, malah turut digunakan oleh ramai pengguna media sosial Malaysia.
Sebelum ini, kedua-dua penyanyi tersebut pernah mencuri tumpuan menerusi lagu bergenre Hip-Dut seperti Garam & Madu dan So Asu yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan pendengar.
Menariknya, OBH Combi Sachet sebenarnya bukanlah lagu yang diterbitkan sebagai sebahagian daripada katalog rasmi muzik mereka.
Sebaliknya, lagu itu dicipta khas untuk kempen promosi produk ubat batuk berbentuk sirap sachet.
Bagaimanapun, sambutan luar biasa yang diterima di luar jangkaan apabila ramai netizen mula menggunakan lagu berkenaan sebagai latar belakang video mereka di laman sosial, selain memuji melodi dan rentaknya yang mudah melekat di fikiran.
Populariti lagu tersebut terus meningkat apabila video persembahan Naykilla dan Jemsii yang dimuat naik di akaun Instagram rasmi produk berkenaan berjaya meraih lebih 12.3 juta tontonan sejak dikongsikan pada 9 Jun lalu.
Fenomena itu sekali lagi membuktikan bagaimana muzik mampu melangkaui tujuan asal penghasilannya apabila sebuah lagu promosi berjaya berkembang menjadi trend yang digemari ramai pengguna media sosial.








