Categories: Sihat

Anak Anda Selalu Kencing Malam? Jangan Bimbang Solusinya Ada!

Hari ini penulis ingin menyentuh mengenai topik kencing malam atau enuresis dalam terma perubatan.

Sebelum mengulas lanjut mengenainya, seorang sahabat lama penulis yang statusnya sudahpun berkahwin merupakan salah seorang penghidap enuresis. Barangkali dia 1 di antara 1,000 orang dewasa yang mengalami kencing malam.

Bagaimanapun enuresis di kalangan kanak-kanak, adalah satu perkara biasa.

Kebanyakan kanak-kanak berhenti kencing malam selepas berumur 5 atau 6 tahun tetapi ada juga kajian menunjukkkan yang 10%-15% daripada kanak-kanak yang berumur 5-12 tahun masih terus kencing malam walaupun mereka tiada masalah dalam sistem buah pinggang.

Kajian di Malaysia masih terdapat lebih kurang 6.2% daripada kanak-kanak yang berumur 7-12 tahun masih lagi kencing malam.

Foto: Farmacia Llueca

Bagaimana enuresis boleh berlaku?

  • Ruang pundi kencing yang kecil.
  • Gangguan tidur, kebanyakan pesakit yang kencing malam dikatakan mereka tidur terlalu nyenyak. Walau bagaimanapun tiada bukti yang kukuh untuk menyokong pernyataan ini.
  • Kurang penghasilan hormon yang dipanggil vassopressin semasa tidur. Vassopressin adalah penting untuk mengurangkan penghasilan kencing di waktu malam.

Jenis-jenis kencing malam?

  • Kencing malam hanya di waktu malam di kalangan kanak-kanak yang tiada masalah lain (primary nokturnal enuresis).
  • Kencing malam di waktu malam dan siang hari (tidak boleh mengawal kencing) – hal ini perlu penilaian seterusnya oleh doktor untuk mengesan sebab yang lain.
  • Sebab-sebab gangguan lain yang boleh menyebabkan kencing malam (secondary enuresis) ialah jangkitan pada pundi kencing, masalah saraf tunjang, pundi kencing yang tidak normal dan masalah metabolisma seperti kencing manis. Selalunya keadaan yang seperti ini akan menunjukkan tanda-tanda lain selain dari kencing malam.

Mungkinkah berlaku sebarang komplikasi?

  • Boleh mengakibatkan perasaan rendah diri dikalangan kanak-kanak dan perasaan itu sendiri boleh menyebabkan faktor risiko untuk masalah psikitrik dan masalah sosial yang lain.
  • Tekanan didalam keluarga.

Cara rawatan?

1) Mengubah sikap – contohnya memberi ganjaran pada anak anda sekirannya dia tidak kencing malam.

2) Loceng kencing malam yang mana membangunkan anak anda setiap kali bila ia kencing malam (tidak banyak terdapat di Malaysia)

3) Ubat-ubatan untuk membantu anak anda kekal kering semasa tidur, dapatkan bantuan doktor anda mengenai perkara ini.

Alternatif atau pendekatan yang lain

  • Kurangkan minum di waktu petang dan malam.
  • Bangunkan atau angkat anak anda di tengah malam untuk kencing, ini boleh mengelak kencing malam tetapi tidak boleh menyembuhkan enuresis.
  • Gunakan lapik tilam yang kalis air.
  • Pewangi bilik.
  • Mandi di waktu pagi sebelum ke sekolah.

Sumber: MyHealth

Yanie Baharom