Categories: Sihat

Cabut sehelai uban, lebih banyak akan tumbuh – Fakta atau mitos?

Stres adalah perkataan paling tepat apabila melihat sehelai uban tiba-tiba muncul di celahan rambut hitam sedang diri merasakan masih muda dan musthail uban akan muncul secepat itu.

Walaupun perkara ini tidak boleh dielakkan, sesetengah daripada kita masih tidak boleh menerima hakikat yang menunjukkan usia semakin meningkat.

Dalam situasi sebegini, terdapat dua pilihan: biarkan sahaja uban itu ataupun bertindak agresif dengan terus mencabutnya daripada kepala.

Lazimnya  ada yang memilih membiarkan sahaja kerana percaya dengan stigma bahawa jika uban berkenaan dicabut, lebih banyak rambut putih akan tumbuh sebagai pengganti.

Tentu ramai yang pernah mendengat mengenai tanggapan berkenaan walaupun tiada sebarang bukti yang menjurus kepada kebenaran terhadap kenyataan itu. Menurut saintis kosmetik Randy Schueller, ini hanyalah satu mitos.

“Tiada masalah jika anda ingin mencabut uban anda, tetapi pada masa yang sama ia tidak memberikan faedah,” katanya.

Memanglah rupa rambut hitam anda tidak lagi akan ‘dicemari’ dengan uban putih, tetapi imej ini hanya bertahan untuk sementara sahaja.

“Folikel (tiub kecil di bawah kulit kepala yang menghasilkan rambut) uban tadi masih hidup. Ia akan menghasilkan satu lagi helaian uban untuk menggantikan uban yang dicabut,” kata Randy.

Cabut satu, satu lagi akan tumbuh. Sumber: ajjkikhabar.com

Bagaimanapun, untuk menjawab persoalan tadi, anda tidak perlu risau. Mencabut sehelai uban tidak akan menyebabkan 10 helai uban akan tumbuh seperti misteri.

“Itu sememangnya mitos kerana apa yang berlaku kepada satu folikel rambut tidak akan mempengaruhi folikel lain di sekelilingnya.”

Berita baik!

“Jika anda bertuah, apabila uban yang baharu tumbuh, warnanya mungkin tidak seputih uban yang sebelumnya.

“Ini adalah kerana melanogenesis (proses yang mana folikel rambut menghasilkan pigmen yang memberi warna kepada setiap helai rambut) tidak konsisten daripada sehelai rambut ke rambut yang lain.

“Jika anda kerap sangat mencabut uban, anda akan merosakkan folikel hingga ia langsung tidak lagi boleh menghasilkan rambut baharu.

“Dalam kes ini, sememangnya uban tidak akan tumbuh di bahagian kepala itu, tetapi sebarang rambut juga tidak akan tumbuh!”

Jadi hati-hati, berfikir dahulu sebelum mencabutnya kerana rambut tidak akan tumbuh lagi.

Ad Ops