Categories: Sihat

Hidung Tiba-Tiba Berdarah, Ini Langkah Yang Betul Perlu Anda Buat!

Pernahkah anda alami situasi hidung berdarah secara tiba-tiba? Biasanya, kanak-kanak sering mengalami hidung berdarah ini, tapi bagi yang dewasa masalah ini mungkin akan mengundang panik!

Hidung berdarah atau istilah perubatannya, epistaksis berlaku apabila salur darah kecil (kapilari) di rongga hidung telah pecah disebabkan beberapa punca seperti kecederaan, udara terlampau sejuk atau kering, menghembus hidung dengan kuat, terlalu kerap bersin, jangkitan sinus dan kesan sampingan kepada penyakit serius iaitu ketumbuhan dalam rongga hidung. 

Untuk pengetahuan anda, epistaksis ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu pendarahan di bahagian hadapan dan pendarahan di bahagian belakang hidung.

Lebih 90 peratus pendarahan hidung berlaku pada bahagian hadapan dan selalunya membabitkan sebelah bahagian hidung saja dan mudah dihentikan darahnya.

Manakala, 10 peratus lagi berlaku pada belakang hidung dan pendarahan berlaku lebih banyak dan berbahaya. Lebih membahayakan apabila pendarahan yang teruk boleh menyebabkan saluran pernafasan tersumbat dan pesakit berisiko tersedut darah ke dalam paru-paru dan ianya sukar dikawal.

Jadi, sangat penting untuk anda ambil tahu langkah yang betul ketika anda alami situasi hidung berdarah ini agar ia tidak mendatangkan risiko darah memasuki paru-paru. Jom kita semak perkongsian oleh Dr. Mohd Shaiful Nizam tentang langkah-langkah tersebut. 

Pertama

Jangan panik! Pastikan anda dalam keadaan duduk dan sedikit tunduk kehadapan. Ini bagi mengelakkan darah mengalir ke belakang hidung dan berpotensi memasuki paru-paru anda.

Kedua

Picitkan bahagian hadapan hidung dengan lembut menggunakan jari dan telunjuk anda selama 5 minit. Pada masa ini, anda boleh bernafas melalui mulut buat seketika.

Ketiga

Ambil ketulan ais yang kecil dan masukkan di dalam plastik atau bungkusan kain dan letakkan pada dahi anda.

Keempat

Sebagai tambahan, anda boleh kemam ketulan ais yang kecil di dalam mulut untuk membantu mengecutkan saluran darah.

Kelima

Jika ada darah yang mengalir di dalam mulut, jangan telan! Ludah dan keluarkan darah tersebut. Kebiasaanya, pendarahan akan berhenti selepas beberapa langkah di atas.

Keenam

Jikalau hidung masih berdarah selepas melakukan kesemua langkah-langklah diatas, segera ke kecemasan hospital yang terdekat. 

Kesimpulannya, jangan ambil mudah jika hidung anda berdarah. Semoga bermanfaat!

Sumber: Twitter

tex_admin