Categories: Sihat

Semua yang patut anda tahu mengenai kelahiran secara vakum

Oleh Syarifah Fatin Anisa

Proses melahirkan anak boleh menjadi satu pengalaman yang indah atau trauma bagi sesetengah wanita.

Ia boleh menjadi mimpi ngeri jika anda mengalami komplikasi semasa melahirkan anak.

Pada waktu itulah vakum yang digunakan untuk membantu kelahiran akan digunakan.

Vakum dalam hal ini bukanlah seperti yang digunakan semasa mengemas dan membersihkan rumah.

Sebaliknya, ia adalah satu alat yang dicipta khas untuk membantu proses bersalin ibu hamil yang mengalami komplikasi.

Foto: CooperSurgical

Alat penyedut yang kecil akan diletakkan di bahagian kulit kepala bayi. Semasa kontraksi, si ibu akan disuruh untuk meneran manakala doktor pula akan menyedut kepala bayi menggunakan alat tersebut.

Doktor Pakar Sakit Puan, Lee Schofield menjelaskan, “Kaedah ini digunakan seiring dengan usaha daripada ibu sendiri,” katanya yang berkhidmat di Hospital St. Michael, Toronto.

Kaedah bersalin jenis ini adalah tidak terlalu invasif berbanding C-section atau pembedahan.  

Bilakah anda memerlukannya?

Pada awal proses bersalin, anda akan digalakkan untuk meneran tetapi kadangkala bayi tidak selalunya berjaya dilahirkan dengan cara ini.

Komplikasi seperti kepala bayi tersekat atau tulang kemaluan si ibu yang menjadi penghalang kepada proses kelahiran.

Doktor sakit puan biasanya akan mencadangkan penggunakan vakum jika terdapat penurunan pada kadar degupan jantung bayi atau ibu terlalu penat dan sukar untuk meneran.

Foto: Blog Pregistry

 Risiko yang bakal dialami

Risikonya adalah sama dengan kelahiran secara semula jadi seperti koyakan di bahagian kemaluan dan sebagainya.

Selain itu, anda mungkin akan mengalami komplikasi untuk membuang air kecil dan besar.

Bagi bayi pula, alat penyedut vakum akan meninggalkan kesan kecil kepada kepalanya.

Jika alat penyedut tersebut tertanggal beberapa kali atau tidak berjaya dilakukan, doktor mungkin akan mencadangkan pembedahan caesarean.

Dengan kemajuan dalam teknologi perubatan, proses melahirkan bayi anda pasti akan menjadi lebih mudah dan selamat.

Buat ibu hamil di luar sana, jangan takut dengan proses kelahiran. Anda pasti boleh melakukannya!

tex_admin