Categories: TECHTech News

Cara Semak CTOS Secara Dalam Talian

Apabila mahu membuat pinjaman di bank, dua terma CTOS dan CCRIS seringkali menjadi perhatian. Mungkin ada yang masih keliru antara CTOS dan CCRIS. Bagi mengelakkan kekeliruan, CTOS dan CCRIS adalah dua institusi yang berbeza.

Credit Tip-Off Service (CTOS)

CTOS adalah sebuah Agensi Pelaporan Kredit yang didaftarkan di bawah bidang kuasa Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010. CTOS mengeluarkan laporan kredit (untuk individu dan syarikat) yang memaparkan rekod kredit untuk tempoh 24 bulan lalu, maklumat tindakan undang-undang, pemilikan syarikat dan pengarah, dan juga testimoni daripada syarikat-syarikat yang pernah berurusniaga dengan mereka.

Pada dasarnya, institusi kewangan akan menggunakan lebih dari satu laporan kredit untuk memberikan gambaran menyeluruh tentang kelayakan kredit peminjam. Laporan kredit yang disimpan dalam CTOS akan kekal sepanjang hayat.

Antara sumber maklumat CTOS termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Insolvensi Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Pendaftar Pertubuhan, Warta dan Penerbitan Kerajaan, notis undang-undang dalam akhbar, maklumat sukarela yang diberikan oleh individu tersebut dan maklumat hubungan yang disediakan oleh pemiutang, litigators atau penyokong perdagangan.

 

Cara semakan CTOS secara atas talian

Laporan MyCTOS adalah laporan kredit peribadi anda oleh CTOS. Anda boleh mendapatkannya secara percuma dengan hanya beberapa langkah.

Untuk mendapatkan laporan secara online, anda perlu mendaftar akaun di laman web CTOS. Anda boleh berbuat demikian dengan menyediakan nombor kad pengenalan, alamat e-mel dan nyatakan pilihan bahasa anda (Inggeris, Bahasa Malaysia). Setelah selesai mengisi dan memasukkan kod pengesahan, klik “Continue”.

Seterusnya, muat naik gambar kad pengenalan bahagian depan dan belakang. Anda juga perlu mengisi alamat seperti yang tertera pada MyKad dan klik “Continue”.

Permohonan anda akan mula diproses. Jika anda membuat permohonan semasa waktu bekerja, CTOS akan menghantar e-mel pengesahan permohonan dalam tempoh 30 minit selepas permohonan di buat. E-mel tersebut mengandungi butiran ID Pengguna, lampiran terma dan syarat, serta lampiran laporan MyCTOS.

Sebaik sahaja anda menerima e-mel tersebut, log masuk CTOS, masukkan soalan dan jawapan keselamatan serta tekan “Save Changes” untuk meneruskannya.

Selain melihat laporan MyCTOS yang dilampirkan pada e-mel, anda juga boleh melihat laporan tersebut dengan memilih “View latest report” seperti yang ditunjukkan dalam gambar di atas.

Untuk memudahkan anda melihat laporan CTOS, terdapat juga aplikasi mudah alih yang membolehkan anda menyemak laporan menggunakan telefon bimbit anda. Anda boleh muat turun aplikasi CTOS di Google Play atau App Store

Sumber: CTOSeCCRIS , wiser

SGMS Enal