Categories: TECHTech News

Harga Jualan Samsung Galaxy Note 9 Tertiris Menjelang Pelancaran Rasmi

Menjelang majlis pelancaran secara global Samsung Galaxy Note 9 pada 24 Ogos ini, sedikit demi sedikit spesifikasi dan maklumat berkaitan peranti tersebut telah tertiris sejak kebelakangan ini. Namun, tiada ura-ura berkenaan harga bagi peranti itu yang dapat kita dengar sebelum ini.

Bagaimanapun, sebuah portal atas talian Itali, TuttoAndroid telah melaporkan bahawa Samsung Galaxy Note 9 akan dijual di pasaran Itali dengan harga permulaan pada 1,029 Euros(~RM 4,895) sehinggalah variasi paling mahal yang akan dijual pada harga 1,279 Euros(~RM 6,084).

Galaxy Note 8

Samsung Galaxy Note 9 ini akan dipertontonkan kepada umum buat pertama kali dalam satu majlis yang akan berlangsung pada 8 Ogos ini di New York, Amerika Syarikat. Orang ramai lebih berminat untuk mengetahui dengan lebih tepat berkenaan spesifikasi peranti berbanding reka bentuknya yang dijangka tidak terlalu berbeza dengan Galaxy Note 8.

Sekiranya laporan berkaitan harga itu benar, ini akan menjadikan Galaxy Note 9 sebagai antara peranti termahal yang pernah dijual oleh Samsung. Perkara ini juga akan menjadi antara faktor penentu bagi persaingan antara Galaxy Note 9 dengan model iPhone yang akan diperkenalkan pada tahun ini.

Setakat ini, Samsung masih berdolak dalih ketika ditanya mengenai jangkaan harga bagi peranti ini. Namun pemerhati industri berpendapat bahawa peranti ini akan menjadi lebih tinggi bagi sebahagian pasaran berikutan perbezaan kadar cukai yang akan dikenakan.

Imej Tidak Rasmi Galaxy Note 9

Seperti yang pernah didedahkan sebelum ini, Samsung Galaxy Note 9 dijangka hadir dengan dua pilihan variasi simpanan dalaman iaitu 128 GB dan 512 GB sahaja. Menurut laporan, peranti berkenaan akan hadir dengan warna Hitam, Biru dan Lavender bagi pasaran Eropah serta menyokong fungsi S-Pen yang telah dinaiktaraf.

Kita mungkin akan dapat mendengar pengumuman rasmi berkenaan setiap informasi tentang peranti ini pada majlis pengenalan di New York nanti. Sehingga hari tersebut, semua laporan berkaitan peranti ini adalah sekadar ura-ura dan hasil tirisan pakar-pakar tiris sahaja.

Sumber

SGMS Putri