Instagram Bakal Perkenal Sokongan Panggilan Video & Reka Bentuk Semula Laman Explore

Sudah lama kita dengar berita bahawa Instagram bakal memperkenalkan sokongan panggilan video. Baru-baru ini, Mark Zuckerberg mengesahkan ia bakal direalisasikan dan ciri yang dinamakan Video Chat akan hadir ke Instagram tidak lama lagi!

Dengan ciri panggilan video ini, pengguna boleh melakukan panggilan video bersama rakan dan secara berkumpulan melalui tab Instagram Direct. Maknanya, korang haruslah mengikuti profile antara satu sama lain sebelum boleh membuat panggilan video.

Apa yang best, ketika membuat panggilan video, korang juga boleh scroll Instagram pada masa yang sama. Paparan korang akan bertukar menjadi picture-in-picture dan dipaparkan dalam bentuk tetingkap kecil ketika korang melayari Instagram.

Pada ketika ini, bila kita akan menerima sokongan panggilan video, masih belum boleh diketahui. Mungkin dalam minggu atau bulan terdekat ini?

Selain itu, Instagram juga bakal memperkenalkan rekaan semula laman Explore dengan butang baharu di atas lamannya, membolehkan pengguna memilih untuk swipe subjek seperti binatang, fotografi dan seni bina bagi melihat lebih banyak post mengenai sesetengah topik.

Kemaskini terbaru ini juga membolehkan korang meneroka lebih banyak kandungan mengikut minat masing-masing. Korang boleh mencari kandungan baharu, kenalan dan jenama terkini di pasaran untuk diikuti. Jom layan Instagram sekarang!

Ditulis oleh SGMS Epul

SGMS Enal