Categories: TECHTech News

Lelaki Tipu IPhone Dan Macbook Dicuri Untuk Tuntut Wang Insuran

Pernah dengar cerita orang menipu kemalangan atau kematian untuk menuntut wang insuran? Perkara ini turut berlaku di mana gajet seperti telefon pintar dan laptop dilaporkan dicuri, dan ia terjadi sendiri di Malaysia.

Polis di Seberang Perai berjaya membongkar penipuan seorang lelaki yang menipu syarikat insuran untuk mendapatkan wang menerusi tuntutan palsu insuran. Beliau telah melakukan penipuan beberapa kali sebelum ini, tetapi telah gagal nampaknya dalam percubaan terbarunya.

Lelaki tersebut yang berusia 34-tahun, bekerja sebagai pengurus pemasaran di sebuah syarikat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Beliau baru-baru ini melaporkan gajet miliknya iaitu iPhone XS Max, iPad Pro dan Macbook Pro telah dicuri oleh dua orang yang menunggang motorsikal, di rumah ibu mertuanya.

Polis kemudian berasa curiga terhadap laporan beliau, selepas menemui rekod di mana beliau telah membuat laporan kecurian yang hampir sama sebelum ini. Seawal tahun 2013.

 

 

Macbook Pro yang ditemui di rumah ibu mertua saspek (Gambar oleh Polis dari NST)

Selepas soal siasat, beliau akhirnya mengaku telah menjual produk Apple beliau yang telah ‘dicuri’ di forum lowyat.net dan kemudiannya melaporkan ia telah dicuri untuk membuat tuntutan insuran. Selepas itu, beliau menggunakan wang insuran tersebut untuk membeli iPhone baru.

Polis kemudian membuat carian dan menemui Macbook Pro beliau yang telah dilaporkan dicuri, di rumah ibu mertua beliau. Macbook pro yang telah ‘dicuri’ itu dijual pada harga RM6,000 manakala iPhone pula dijual RM5,000.

 

Sumber: SoyaCincau.com.my

Rosli Ab Rahman